
Penyanyi Ning Baizura pada Jumaat akhirnya tampil memberi penjelasan setelah dia dikecam hebat oleh warganet yang beranggapan dia tidak sensitif dengan segala yang berlaku di bumi Palestin ketika ini.
Dalam video yang dikongsi di akaun Instagramnya itu, Ning menafikan semua tuduhan yang dilemparkan dan meminta agar warganet menonton semula video penuh sesi Instagram live yang masih ada di akaun Instagramnya itu.
Jelas pelantun lagu ‘Awan Terpilu’ itu dia bukanlah tidak sensitif atau tidak ambil tahu tentang All Eyes on Rafah, tetapi persoalan yang dilontarkan olehnya ketika itu adalah respon kepada perbualannya dengan peminat yang ketika itu bercakap tentang nama.
“Kejadian itu berlaku ketika saya sedang sibuk buat persediaan untuk sesi live Ning Oke iaitu sesi karaoke untuk saya lebih mengenali peminat, dan dalam masa yang saya, saya juga sibuk melayan permintaan peminat yang mahu meminta lagu.
“Jadi, ketika saya membaca komen-komen peminat, saya bertanya kenapa nama mereka susah untuk disebut. Ketika itulah muncul komen, All Eyes On Rafah, dan saya secara spontan memberi respon sebegitu.
“Saya tidak berniat untuk mempersendakan situasi yang sedang berlaku. Saya tidak tanya apa itu (what’s that), saya kata siapa itu (who’s that)” ujar Ning.
Dalam masa yang sama, Ning juga berterus-terang yang dia tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa. Dia maklum dengan situasi yang sedang berlaku di Palestin dan berharap agar netizen tidak mudah percaya atau membuat kesimpulan hanya berpandukan sebuah video yang telah disunting.
Untuk penjelasan penuh, anda boleh tonton video di bawah ini. - Getaran, 18 Mei 2024

![Dituduh Tak Cakna Isu Di Rafah, Ning Baizura Akhirnya Tampil Beri Penjelasan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)

