Konsol permainan Nintendo Switch 2 baru sahaja dilancarkan pada awal tahun ini, dan sambutannya dilihat agak menggalakkan, menawarkan kuasa pemprosesan yang lebih hebat, dan juga membolehkan pembangun prmainan untuk menawarkan lebih banyak lagi jenis permainan video yang berbeza.
Walaupun begitu, terdapat diantara peminat Nintendo yang sedang menunggu untuk model baharu tiba, khususnya dengan penawaran paparan skrin OLED yang memperlihatkan olahan warna yang lebih cerah dan juga cantik. Terkini, ada ura-ura yang mengatakan bahawa Nintendo bakal memperkenalkan penawaran kemaskini tersebut pada awal tahun 2028 kelak.

Perkara ini dilaporkan oleh ZDNet Korea, yang mengatakan bahawa Nintendo kini sedang dalam proses untuk membangunkan konsol dengan panel skrin tersebut, yang juga dilaporkan akan menggunakan khidmat Samsung Display untuk penawaran paparan skrin OLED tersebut, sama seperti apa yang digunakan untuk konsol Nintendo Switch OLED sebelum ini.

Bukan itu sahaja, paparan OLED untuk Nintendo Switch 2 “OLED” kelak akan hadir dengan resolusi yang lebih besar, iaitu 1920×1080, jauh berbeza berbanding dengan resolusi 1280×720 yang diperlihatkan melalui konsol Nintendo Switch OLED.
Jangkaan ZDNet juga ialah apabila Nintendo sudah bersetuju dengan pihak Samsung untuk memperkenalkan kemaskini konsol tersebut, pengeluaran paparan skrin OLED untuk Switch 2 boleh bersedia untuk dimulakan seawal penghujung tahun ini, dimana konsol Switch 2 OLED boleh diperkenalkan pada penghujung tahun 2027 atau awal tahun 2028.
Sumber: ZDNet




