
KUALA LUMPUR 18 Dis – Nippon Paint Malaysia menjangkakan industri pembinaan negara memasuki fasa pertumbuhan bernilai tinggi pada 2026, dipacu kemajuan projek infrastruktur berskala besar dan pengembangan sektor perindustrian serta peningkatan keperluan pembaikan.
Menurut Nippon Paint Malaysia dalam kenyataan, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai kerja pembinaan yang disiapkan meningkat 12.9% tahun ke tahun pada suku kedua 2025, mencerminkan aktiviti yang sihat merentasi segmen infrastruktur, komersial dan kediaman.
Syarikat itu berkata, unjuran ekonomi turut menunjukkan sektor pembinaan berpotensi mengekalkan pertumbuhan sekitar 6.1% pada 2026, disokong hala tuju strategik dan peruntukan perbelanjaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), yang mendorong industri ke arah projek lebih khusus dan bernilai tambah tinggi.
Pengurus Besar Nippon Paint Tay Sze Tuck berkata syarikat menjangkakan pertumbuhan stabil pada 2026 selari dengan projek infrastruktur yang mencapai peringkat penting, pengembangan sektor industri dan pembuatan termaju serta permintaan berterusan bagi kerja pengubahsuaian kediaman.
“Nippon Paint menjangkakan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2026, disokong oleh projek infrastruktur yang mencapai peringkat penting, pengembangan sektor industri dan pembuatan termaju, serta permintaan berterusan bagi kerja-kerja pengubahsuaian kediaman,” katanya.
Menurut Sze Tuck, ketika Malaysia terus membangun pesat dan menarik pelaburan asing, tumpuan Nippon Paint adalah menyediakan Total Coating & Construction Solutions (TCCS) bersepadu bagi memenuhi keperluan sektor pembinaan yang semakin berkembang, meliputi aspek ketahanan, keselamatan, kelestarian dan prestasi jangka panjang.
Beliau berkata, dasar kerajaan dalam pembangunan infrastruktur, perindustrian dan kelestarian terus merangsang pertumbuhan, dengan projek berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) kini memasuki fasa struktur akhir, kemasan dan sistem, yang memerlukan bahan binaan lebih khusus.
“Seiring kemajuan projek-projek berskala besar ini, ia memerlukan penggunaan mortar drymix yang boleh dipercayai, sistem kalis air, lantai industri, salutan seni bina dan perlindungan serta bahan pengedap dan pelekat (SAF) yang berfungsi sebagai satu sistem bersepadu,” katanya.
Nippon Paint turut berkata, peruntukan RM81 bilion di bawah Bajet 2026 untuk pembangunan awam mengukuhkan permintaan terhadap bahan binaan yang dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan menyokong objektif Jumlah Kos Pemilikan (TCO).
Dalam segmen hartanah industri, syarikat itu melihat pertumbuhan berterusan melibatkan pembuatan, gudang dan logistik rantaian sejuk, selari dengan usaha Malaysia meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan pemprosesan bernilai tinggi.
Sze Tuck berkata, pada 2026, penglibatan utama Nippon Paint tertumpu kepada loji pembuatan, kemudahan penyimpanan, persekitaran pemprosesan makanan dan kompleks industri lain yang memerlukan bahan binaan berprestasi tinggi.
“Lantai industri bukan lagi keputusan di belakang tabir. Sama ada kilang makanan atau fasiliti elektronik, lantai memainkan peranan besar terhadap kebersihan, keselamatan pekerja dan kesinambungan operasi,” katanya.
Beliau berkata, sistem lantai industri FloorShield Nippon Paint merangkumi epoksi bebas pelarut, poliuretana (PU) berpelarut dan epoksi aras sendiri, yang direka untuk menahan beban berat, pendedahan bahan kimia serta keperluan kebersihan yang ketat.
Selain itu, Sze Tuck berkata lebih separuh bangunan komersial dan kediaman di Malaysia kini berusia lebih 20 tahun, meningkatkan keperluan pemulihan struktur dan permukaan, yang jika tidak ditangani dari punca, boleh menjejaskan keselamatan dan nilai aset.
“Pembaikan semula akan menjadi segmen penting pada 2026 apabila pemilik bangunan mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan berbanding pembaikan sementara,” katanya.
Menurut Sze Tuck, pendekatan TCCS Nippon Paint menawarkan penyelesaian sehenti merangkumi pengecatan semula, kalis air semula, lantai semula dan pengedapan semula, disokong diagnostik punca masalah, pemeriksaan keserasian sistem serta bahan berkejuruteraan.
“Dengan projek infrastruktur menghampiri penyempurnaan, pertumbuhan industri yang pesat dan peningkatan permintaan pembaikan semula, kami menjangkakan 2026 sebagai tahun kemajuan yang stabil dan seimbang untuk industri pembinaan Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, misi Nippon Paint adalah menjadi rakan kongsi kepada pemaju, kontraktor dan pemilik hartanah melalui penyelesaian TCCS hujung ke hujung yang meningkatkan keselamatan, ketahanan dan kecekapan di setiap peringkat pembinaan. - DagangNews.com

