KOTA KINABALU: Nisbah perwakilan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan ditambah bagi meningkatkan penyertaan kedua-dua negeri itu di Parlimen, selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) hari ini, dengan penambahan berkenaan perlu membabitkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak yang lebih tinggi berbanding kedudukan ketika ini.
Beliau berkata, keputusan terbabit turut mengambil kira prinsip asal MA63 yang memperuntukkan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak pada 1963.
“Perkara paling utama ialah keputusan untuk memindahkan dan membolehkan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bertambah seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Penambahan itu mestilah melibatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan MTPMA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, walaupun terdapat kemungkinan penambahan kerusi Parlimen dari Semenanjung, prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu lebih tinggi daripada yang ada sekarang tidak boleh diketepikan.
“Penambahan tidak bermakna hanya menyamakan dengan apa yang sedia ada, tetapi penambahan yang disertai dengan peningkatan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak. Itu perkara pertama yang penting,” katanya.
Menurutnya, mekanisme penambahan kerusi berkenaan akan dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau menambah Jemaah Menteri sebelum ini telah bersetuju secara prinsip mengenai penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak sebelum keputusan itu diluluskan secara rasmi pada Rabu lalu.
“Jemaah Menteri telah membuat keputusan dan saya telah memaklumkannya kepada SPR untuk mereka memulakan rundingan.
“Sama ada ia sempat dilaksanakan untuk pilihan raya akan datang, saya tidak pasti kerana ia melibatkan proses pindaan Perlembagaan dan saya tidak mahu mengganggu proses tersebut.
“Namun yang penting, keputusan telah dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju mempercepatkan penambahan pelantikan rakyat tempatan dari Sabah dan Sarawak ke jawatan penting dalam kerajaan.
Beliau berkata pelaksanaan perkara itu akan dibuat secara berfasa, dengan fasa pertama sudah dilaksanakan manakala fasa kedua akan disegerakan.
“Perkara kedua adalah mengenai penambahan jawatan-jawatan penting untuk Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperakui dalam Perjanjian Malaysia dan juga Suruhanjaya Cobbold sebelum ini.
“Kita telah memutuskan pelaksanaannya dalam beberapa fasa: fasa pertama telah dilaksanakan, manakala fasa kedua akan disegerakan. Ini termasuklah melantik anak-anak tempatan dari Sabah dan Sarawak untuk memegang jawatan-jawatan utama dalam jabatan kerajaan,” katanya. – UTUSAN
The post Nisbah kerusi Sabah, Sarawak di Parlimen ditambah appeared first on Utusan Malaysia.






