
PETALING JAYA – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dijadikan agenda penting hanya apabila tiba musim pilihan raya, sebaliknya komitmen terhadap Sabah dan Sarawak perlu dilaksanakan secara konsisten.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, menghormati MA63 bermakna suara serta aspirasi rakyat kedua-dua negeri itu perlu sentiasa didengar dan diberikan perhatian.
“MA63 tidak boleh menjadi agenda penting hanya apabila tiba musim pilihan raya. Komitmen kepada Sabah dan Sarawak tidak mengenal musim.
“Sabah dan Sarawak mesti sentiasa berada di meja, suara mereka didengar serta dilibatkan dalam menentukan perkara terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fadhlina, beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kota Kinabalu pagi tadi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kepimpinan Sabah dan Sarawak.
Katanya, dalam sektor pendidikan, pelbagai perkara yang sekian lama dibangkitkan kedua-dua negeri berkenaan sudah berjaya diselesaikan secara bersama.
Ia termasuk isu pengambilan guru, sekolah daif, pembangunan serta peruntukan pendidikan.
Selain itu, kerajaan negeri turut diberikan penglibatan lebih besar dalam merancang keperluan pendidikan masing-masing.
“Sebagai pemimpin yang datang daripada Parti Keadilan Rakyat, MA63 bukan perkara yang baru kita ingat hari ini.
“Ia sudah lama menjadi sebahagian daripada perjuangan dan Perlembagaan parti. Bagi kami, menghormati MA63 bermakna menghormati suara dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut berterima kasih kepada Anwar kerana terus meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai antara keutamaan kerajaan. – KOSMO! ONLINE
The post MA63 bukan hanya agenda musim pilihan raya – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.






