Nissan Navara Edisi Hitam baharu dilancar di Malaysia harga bermula RM134,800 

Cars
8 Sep 2023 • 10:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nissan Navara Edisi Hitam baharu dilancar di Malaysia harga bermula RM134,800

zulfadli

08/09/2023 - 10:37

KUALA LUMPUR 8 Sept - Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan Nissan Navara Edisi Hitam baharu dengan penambahbaikan penggayaan dan aksesori premium pada varian popular VL dan V, rangkaian model pikap Navara.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, sejak PRO-4X diperkenalkan sebagai sebahagian daripada ubah rupa Nissan Navara, gaya maskulin dan sofistikated ‘Mother Trucker’ ini telah lama diidam-idamkan peminat Navara.

"Di ETCM, kami berusaha untuk menceriakan pelanggan, justeru, saya amat berbangga untuk melancarkan Nissan Navara Edisi Hitam baharu yang menggabungkan petunjuk visual flagship PRO-4X pada varian popular VL dan V.

"Ia juga dilengkapi dengan aksesori premium demi saranan nilai yang tiada tandingan dalam segmen pikap," katanya dalam kenyataan media di sini.

Elemen gaya teras Navara Edisi Hitam ini merangkumi pelapisan gril depan baharu, perumah cermin sisi dan fender hitam berkilat.

Di samping itu, varian V didatangkan dengan rim aloi hitam berkilat 17-inci manakala varian VL pula dikekalkan dengan roda aloi kemasan hitam dan digilap 18 inci.

Gril hitam yang menarik perhatian yang sebelum ini hanya eksklusif pada PRO-4X flagship, kini menambahkan daya tarikan varian VL dan V dengan penampilan yang sofistikated dan lasak, terutamanya apabila ia diapit oleh Lampu Utama jenis Quad LED Projector dan Lampu Nyalaan Siang berbentuk-C LED.

image is not available

Selain itu, varian VL kini didatangkan dengan aksesori di bawah pakej perlindungan, termasuk pelindung tangki bahan api, pelindung penakung minyak, plat pemijak kaki, perakam video pemanduan, visor pintu dan filem tinting sekuriti V-KOOL.

Varian V pula didatangkan dengan pakej premium iaitu tempat duduk kombinasi kulit dan filem tinting sekuriti V-KOOL.

image is not available

Kedua-dua varian VL dan V dikuasakan oleh enjin Common Rail Turbo-Diesel empat silinder YD25 yang menghamburkan 190PS dan 450Nm, enjin yang terbukti secara menyeluruh dan dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan yang lancar dan pilihan gear mode manual.

Untuk memaksimumkan daya tarikan dalam keadaan licin atau off-road, tork disalurkan ke keempat-empat roda melalui sistem 4WD kawalan elektronik dengan Active Brake Limited Slip Differential.

image is not available

Nissan Navara adalah salah satu trak paling selamat dalam kelasnya, yang mana kedua-dua varian VL dan V dilengkapi dengan 6 beg udara, Vehicle Dynamic Control, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Anti-lock Braking System with Electronic Brake Distribution dan Brake Assist sebagai ciri standard.

Selain itu, varian VL dan V juga dilengkapi dengan Intelligent Predictive Forward Collision Warning yang mengesan dua kenderaan di hadapan dan Emergency Braking serta Intelligent Driver Alertness dengan Intelligent Around View Monitor (kamera 360) bersama Off-Road Mode dan Moving Object Detection, Blind Spot Warning, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert dan High Beam Assist.

image is not available

Nissan Navara Edisi Hitam baharu ditawar pada harga RM134,800 (varian V) dan RM146,900 (varian VL). Orang ramai boleh mengunjungi bilik pameran Nissan di seluruh Malaysia untuk melihat dan pandu uji.

Untuk menambahkan keterujaan, ETCM juga menawarkan tawaran aksesori edisi hitam secara percuma, kad minyak bernilai RM800 dan tawaran tukar beli yang hebat kepada pelanggan yang membuat pembelian Nissan Navara Edisi Hitam baharu bulan ini. - DagangNews.com