Ragbi Piala Agong 2019: Boleh ambil pemain naturalisasi

2 Oct 2019 • 11:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KEJOHANAN ragbi Piala Agong 2019 yang akan membuka tirai Sabtu ini dijangka lebih sengit apabila setiap pasukan dibenarkan mendaftar empat pemain bukan warganegara atau naturalisasi bagi memperkuatkan cabaran pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mohamad Fahmy Abd Jalil berkata, hanya tiga pemain naturalisasi dibenarkan beraksi dalam satu-satu perlawanan.

“Tujuan langkah ini diambil adalah untuk meningkatkan lagi standard mutu permainan kejohanan tempatan. Sama seperti saingan Piala Dunia, pasukan-pasukan ternama turut menggunakan khidmat pemain naturalisasi seperti Jepun, Australia dan New Zealand.

“Jadi, kita juga guna pendekatan ini untuk memartabatkan ragbi di Malaysia dan juga sebahagian daripada persiapan menghadapi Kejohanan Asia,” katanya pada sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Mohamad Fahmy yang juga Pengarah Pertandingan KRM berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-37 itu akan disertai 16 pasukan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pasukan dibahagikan kepada empat divisyen iaitu Liga Premier (Kelantan, Johor, Terengganu) Divisyen Satu (Perak, Negeri Sembilan, ATM, Kuala Lumpur) Divisyen Dua (Putrajaya, Melaka, Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, PDRM) serta Divisyen Borneo (Sabah).

Namun, Sabah selaku juara bertahan dan juga wakil Borneo menempah slot suku akhir secara automatik kerana Sarawak dan Labuan tidak mengambil bahagian kali ini.

Kejohanan ragbi Piala Agong yang akan berlangsung sehingga 23 November itu turut menawarkan hadiah keseluruhan RM45,000.


View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved