NNC, UPSI perkukuh pendidikan STEM melalui Program Pemindahan Ilmu Nanosains

Technology
18 Jun 2026 • 10:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: NNC, UPSI perkukuh pendidikan STEM melalui Program Pemindahan Ilmu Nanosains
: Ismarul Nizam (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Program Pemindahan Ilmu Nanosains NNC-UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara melalui pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu Nanosains yang memberi penekanan kepada pendedahan awal teknologi nano dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Penolong Pengarah, Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Ismarul Nizam Ismail berkata, program berkenaan merupakan inisiatif strategik melibatkan NNC, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta UPSI dalam usaha memperluaskan akses ilmu nanosains dan nanoteknologi kepada generasi muda sebagai persediaan menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

Beliau berkata program pemindahan ilmu tersebut merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan kerajaan bagi membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.

“Seiring dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021–2030, MOSTI komited untuk memperluaskan akses kepada ilmu pengetahuan dan teknologi terkini melalui pendekatan kolaboratif melibatkan akademia, industri, kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program Pemindahan Ilmu Nanosains NNC-UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, hari ini.

Ismarul Nizam berkata, UPSI melalui kepakaran akademik dan penyelidikannya turut giat meneroka pelbagai bidang berkaitan nanosains termasuk aplikasi nanobahan dalam pendidikan, sains bahan, tenaga, alam sekitar serta pembangunan inovasi berasaskan teknologi maju.

Beliau berkata kerjasama strategik antara NNC dan UPSI dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan modul serta aktiviti pembelajaran STEM berteraskan nanosains di peringkat sekolah, sekali gus memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi dalam kehidupan seharian.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan eksperimen, demonstrasi makmal, kit pendidikan nanosains serta aktiviti inovasi berpotensi melahirkan lebih ramai pelajar berminat dalam bidang STEM dan menyokong agenda pembangunan bakat teknologi negara,” katanya.

Image from: NNC, UPSI perkukuh pendidikan STEM melalui Program Pemindahan Ilmu Nanosains
Ismarul Nizam (dua dari kiri) bersama Dr. Suriani (kiri) ketika melawat reruai sains pada majlis perasmian Program Pemindahan Ilmu Nanosains NNC-UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: UPSI

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata penganjuran program tersebut membuktikan keyakinan NNC terhadap keupayaan universiti itu dalam membangunkan ekosistem pendidikan sains dan teknologi yang berimpak tinggi.

Beliau berkata NNC telah menganugerahkan dana berjumlah RM35,706.96 kepada UPSI melalui Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) bagi menjayakan program berkenaan, yang turut disokong oleh Pusat Nanoteknologi dan Fakulti Sains dan Matematik UPSI.

“Penganugerahan dana ini bukan sekadar sokongan kewangan, malah merupakan manifestasi kepercayaan NNC terhadap kesungguhan UPSI dalam memperkasa pendidikan sains dan teknologi serta pembangunan bakat masa hadapan negara.

Menurut beliau, program tersebut melibatkan penyertaan seramai 200 pelajar daripada 14 buah sekolah sekitar Daerah Muallim, bersama 14 guru pengiring dan 25 fasilitator dalam kalangan mahasiswa UPSI dengan sokongan pensyarah serta pakar bidang universiti.

Katanya, peserta telah mengikuti lapan modul nanosains interaktif yang dibangunkan berasaskan pendekatan pembelajaran secara amali dan pengalaman langsung bagi memberi pemahaman jelas mengenai aplikasi sains dalam kehidupan moden.

“Pendekatan inklusif ini memastikan pelajar daripada pelbagai latar belakang geografi dan sosioekonomi mendapat peluang yang sama untuk meneroka serta menghargai bidang nanosains dan teknologi,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.