Noh hadir mesyuarat MKT UMNO

Politics
27 Jan 2023 • 8:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Noh tiba di Menara Dato Onn, WTC bagi menghadiri Mesyuarat MKT UMNO, pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dilihat tiba di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat.

Beliau yang masih memegang jawatan ahli MKT merupakan antara pemimpin UMNO yang dikatakan berada dalam pemerhatian parti untuk diambil tindakan.

Noh dan beberapa pemimpin UMNO Bahagian Tanjong Karang didakwa terbabit dalam melakukan tindakan mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Pada Perhimpunan Agung 2022 (PAU 2022) baru-baru ini, Noh juga lantang mengkritik parti selepas pemimpin Kelab UMNO Luar Negara dikatakan dihalang berbahas kerana ada kecenderungan mengkritik presiden parti.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga tidak bersetuju dengan usul tiada pertandingan membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Mesyuarat MKT kali ini menjadi tumpuan dengan beberapa keputusan besar dijangka diputuskan antaranya mengenai tarikh Pemilihan UMNO pada tahun ini dan penentuan nasib beberapa pemimpin dikaitkan dengan tindakan sabotaj dan mengkritik kepimpinan parti.