Pemimpin UMNO Santuni Pengamal Media, Zahid Rai Hari Jadi Bersama

Politics
14 Jan 2023 • 4:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid beramas mesra dengan petugas media di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. - Gambar oleh Syeda Imaran

KUALA LUMPUR - Kesibukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri program sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022), tidak menghalang beliau beramah mesra bersama pengamal media yang membuat liputan pada acara itu di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk menyantuni petugas agensi media tempatan dan antarabangsa di kesemua meja yang menempatkan mereka, bertegur sapa, bersalaman serta bertanya khabar.

Lebih istimewa, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sempat meraikan ulang tahun kelahiran pada 4 Januari bersama beberapa petugas media yang turut menyambut hari lahir pada bulan sama.

image is not available
Ahmad Zahid meraikan hari lahir bersama petugas media. - Gambar oleh Syeda Imran

Kehadiran Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu juga dimanfaatkan pengamal media untuk merakamkan gambar sebagai kenangan.

Selain beliau, Laman Media yang menjadi pusat khas pengumpulan untuk pengamal media menjalankan operasi tugasan, turut dilawati beberapa pemimpin daripada parti itu sejak hari pertama PAU 2022 pada Rabu lalu.

image is not available
Ahmad Zahid beramah mesra dengan wartawan getaran.my yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. - Gambar Bernama

Mereka termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal.

Pada masa sama, mereka memberi cenderahati kepada pengamal media sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dijalankan.

Sejumlah 68 agensi media cetak dan elektronik mendaftar bagi membuat liputan pada PAU 2022, iaitu masing-masing 50 agensi tempatan dan 18 agensi antarabangsa, melibatkan jumlah keseluruhan 517 petugas.

Terdahulu, PAU 2022 yang dijadual diadakan pada 21 hingga 24 Disember tahun lalu, ditangguhkan ke bulan ini, memandangkan tarikh tersebut bersamaan dengan cuti persekolahan dan ramai perwakilan sudah merancang percutian masing-masing.

Malah, tempoh itu juga tidak sesuai ekoran negara dilanda musim tengkujuh sehingga menyebabkan beberapa negeri mengalami banjir teruk. - Getaran, 14 Januari 2023