
KUALA LUMPUR: Kenyataan oleh beberapa pihak yang mendakwa lebih 200 sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau menerusi hantaran video di TikTok hari ini berkata kenyataan itu juga tidak berasas dan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Dakwaan pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya merujuk isu berkenaan kepada pihak berkuasa supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas.
Baru-baru ini, tular satu artikel disiarkan portal tempatan yang melaporkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri tersebut.
Mohd Na’im menjelaskan ekoran insiden kebakaran hingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dibangunkan dan dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2021.
“(Ini) bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar serta seluruh warga institusi tahfiz persendirian,” katanya.
Menurutnya pelaksanaan inisiatif itu diambil sebagai langkah keselamatan supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di Selangor.
Mohd Na’im berkata pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.
Katanya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dimaklumkan bahawa sejak 2021 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran menerusi garis panduan pemutihan yang dikeluarkan.
“Kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun. Dalam tempoh ini, pihak JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang mereka mendapatkan ulasan daripada agensi yang berkaitan,” katanya. -Bernama

