Nokia, EBB & Open DC naik taraf 6 pusat data AI perkukuh infrastruktur digital Malaysia

LocalTechnology
2 Sep 2025 • 4:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nokia, EBB & Open DC naik taraf 6 pusat data AI perkukuh infrastruktur digital Malaysia

image is not available

02/09/2025 - 16:57

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 SeptNokia mengorak langkah strategik dalam memperkukuh infrastruktur digital Malaysia apabila menandatangani perjanjian dengan Extreme Broadband (EBB) dan anak syarikat milik penuhnya, Open DC bagi menaik taraf enam pusat data kecerdasan buatan (AI) di seluruh negara.

Kerjasama itu bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan dan prestasi rangkaian, malah turut menyokong Dasar Pengkomputeran Awan Negara serta piawaian tinggi industri perbankan dan kewangan, sekali gus menempatkan EBB dan Open DC sebagai peneraju inovasi pusat data dalam ekonomi digital Malaysia.

Di bawah perjanjian kontrak tersebut, Nokia akan membekalkan penyelesaian rangkaian IP bagi menghubungkan enam pusat data AI melibatkan CJ1 Cyberjaya; JB1 Menara MSC Cyberport dan JB2 Menara Ansar di Johor Bahru; PE1 Menara Suntech dan PE2 Bayan Lepas Industrial Park di Pulau Pinang; serta tapak baharu D8-1 di Kedah.

Langkah itu akan menyediakan rangkaian berdaya tahan, selamat dan berprestasi tinggi untuk menyokong pertumbuhan eksponen ekonomi digital negara.

Ia juga seiring dengan visi EBB iaitu “Innovating Connectivity” dan misi Open DC untuk “Develop the Connectivity Hubs at the Most Strategic Locations”.

Selain perjanjian kontrak, Nokia dan EBB turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan strategi pasaran bersama dalam penyelesaian pusat data serta rangkaian kuantum-selamat (QSN).

Kedua-dua pihak akan bekerjasama menyediakan penyelesaian sambungan perusahaan dan multi-awan, keselamatan serta mitigasi serangan Distributed Denial of Service (DDoS), selain menguji dan mengesahkan teknologi seperti Data Center Gateway, Data Center Fabric dengan alatan Event-Driven Automation (EDA).

image is not available
Wong Weng Yew

Pengarah Urusan Open DC, Wong Weng Yew berkata, kerjasama itu menjadi bukti komitmen syarikat dalam menyokong agenda transformasi digital Malaysia di bawah dasar MyDIGITAL.

“Penyelesaian Nokia akan meningkatkan keselamatan, keupayaan sistem dan kelestarian pusat data kami.

“Ia membolehkan kami membina hab sambungan yang menyokong inovasi dipacu AI, sekali gus membuka peluang pendapatan baharu kepada perusahaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available
Kent Wong

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Rangkaian IP Nokia Asia Pasifik, Kent Wong pula berkata, Nokia kini muncul sebagai rakan strategik yang dipercayai syarikat pusat data di seluruh dunia.

“Penyelesaian IP terbukti kami membolehkan pengendali pusat data mencapai kebolehpercayaan serta keupayaan sistem tanpa tandingan.

“Pelaksanaan ini membolehkan Open DC memanfaatkan teknologi switching pusat data, automasi dan rangkaian kuantum-selamat, sekali gus memberikan kelebihan perniagaan penting kepada pelanggan,” katanya.

Teknologi Terkini Sokong Kelestarian

Nokia akan menggunakan teknologi Data Center Fabric, Data Center Gateway dan rangkaian kuantum-selamat untuk memodenkan pusat data Open DC, seiring dengan evolusi keperluan perusahaan.

Router Nokia 7250 Interconnect dan 7220 Interconnect turut dipasang bagi menjadikan operasi lebih cekap tenaga, sejajar dengan agenda kelestarian global.

Dengan kerjasama ini, Nokia, EBB dan Open DC yakin dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab data serantau, selari aspirasi kerajaan menjadikan negara peneraju ekonomi digital Asia Tenggara.- DagangNews.com

standard