Wyndham i-City bakal dilancar Disember ini jadi pusat AI & robotik pertama di Malaysia

02/09/2025 - 15:50
Majlis menandatangani perjanjian antara i-City dan Wyndham, disaksikan oleh robot humanoid Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 2 Sept – Bandar pintar bersepadu Malaysia, i-City telah menandatangani perjanjian bersama Wyndham Hotels & Resorts untuk merealisasikan matlamatnya menjadi pusat pelancongan pintar & inovasi bertaraf dunia.
Terbaharu, kerjasama strategik dua pihak itu akan melancarkan hotel baharu, Wyndham i-City dengan kapasiti 200 bilik pada Disember ini, sekali gus menandakan permulaan transformasi bandar pintar itu sebagai pusat pengalaman AI & robotik pertama di Malaysia.
Hotel baharu tersebut akan disokong dengan pembukaan i-City AI World iaitu pusat pengalaman interaktif yang mempamerkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik terkini hasil perikatan strategik i-City bersama AgiBot.
Pelancaran Wyndham i-City turut mengukuhkan kerjasama i-Bhd dan Wyndham Hotels & Resorts, selepas kejayaan Wyndham Suites KLCC dan Wyndham Garden i-City di Shah Alam.
Pengerusi i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, hotel baharu itu dijangka mengulangi model kejayaan terdahulu dengan memanfaatkan tarikan taman tema i-City yang diiktiraf global.
“Gabungan taman tema dan AI World dilihat mampu memanjangkan tempoh penginapan pelancong serta menarik lebih ramai keluarga dan pelancong antarabangsa.
“Dengan AI World dan perikatan bersama AgiBot, kami mengambil langkah berani seterusnya untuk meletakkan i-City sebagai pusat pengalaman AI & robotik pertama Malaysia dan Wyndham i-City akan menjadi tonggak transformasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Asia Pasifik Wyndham Hotels & Resorts, Ooi Joon Aun pula berkata, hotel baharu itu membolehkan pihaknya menawarkan pengalaman hospitaliti generasi baharu di salah satu destinasi paling inovatif di Malaysia.
“Projek perintis kami telah membuktikan potensi transformasi AI dan robotik dalam memberi pengalaman baharu dalam bidang hospitaliti,” katanya.
Wyndham i-City bakal menampilkan 200 suite berkonsep moden dengan pilihan 1 hingga 3 bilik lengkap dapur, memenuhi keperluan keluarga, pelancong korporat dan tetamu jangka panjang.
Selain itu, projek ini juga sebahagian daripada pelan i-City–AgiBot yang merangkumi integrasi AI dan robotik dalam hospitaliti serta pembangunan AI Smart Tower, kediaman pintar berasaskan kesejahteraan dipacu AI.- DagangNews.com
standard


