Noktah Kemiskinan Tegar, Isu Kewarganegaraan Dibincang Bersama MPN PKR Sabah - Anwar

LocalPolitics
20 Apr 2024 • 12:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama sebahagian ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah dan 26 Ketua Cabang PKR Sabah selepas mengadakan pererjumpaan khas, hari ini. gambar BERNAMA

KOTA KINABALU - Menoktahkan kemiskinan tegar dan isu kewarganegaraan di Sabah adalah antara inti pati utama yang dibincangkan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini hari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, MPN PKR Sabah telah mengutarakan kepentingan memesatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu, selain turut menyatakan cadangan untuk mendepani perkara berkenaan.

Turut dibincangkan adalah kepentingan mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengatasi isu kewarganegaraan di Sabah, terutama melibatkan penduduk yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, kata beliau.

"Tentunya (mengatasi isu kewarganegaraan) mengikut syarat telah ditentukan negara kita. Saya terharu apabila nampak fokus itu ada (untuk mengatasi) masalah kemiskinan dan tidak ada kartu (dokumen) yang sah," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan khas dengan MPN PKR Sabah di sini, yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek juga Menteri Pendidikan; Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam. - BERNAMA