Nombor Plat F1 Jadi Milik Sultan Johor

11 Jun 2023 • 3:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anthony menyampaikan secara simbolik nombor plat FF1 yang menjadi milik Sultan Ibrahim. - Gambar dari Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR - Nombor plat FF1 iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya akhirnya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran ringkas di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Baginda terdahulu berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Johor Bahru.

Loke pada pertemuan berkenaan turut menyampaikan secara simbolik nombor plat terbabit.

Difahamkan, nombor plat berkenaan menjadi milik Sultan Ibrahim selepas baginda membida dengan tawaran tertinggi.

Sementara itu, Loke menerusi hantaran di Instagram memberitahu, Sultan Ibrahim membuat bidaan berjumlah RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut.

"Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.

"Bayaran ini menjadikan jumlah kutipan kerajaan untuk nombor siri FF meningkat ke RM35.4 juta," katanya. - Getaran, 11 Jun 2023