Nonny Nadirah Sakan Bikin Kontroversi, Niezam Zaidi Terkejut– “Dia Hamba Allah Yang Baik…”

20 Jul 2024 • 5:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Aktor Niezam Zaidi terkejut dengan kisah bekas kekasihnya iaitu pelakon Nonny Nadirah yang tular di media sosial itu selepas mengetahuinya daripada orang lain.

Anggap Ujian Ada Hikmah

Menurut laporan Harian Metro, Niezam, 31, berkata, dia hanya mampu mendoakan yang terbaik buat wanita terbabit dan menganggap apa yang terjadi adalah hikmah.

"Saya tahu cerita itu (mengenai Nonny) daripada orang lain. Sebabnya, orang yang bertanya kepada saya dan saya jawab tak tahu saya. Ya, memang ramai yang bertanya.

"Saya mengharapkan dan berdoa agar Allah memberi hidayah kepada kita semua dan membawa kita ke jalan yang benar. Mungkin setiap perkara terjadi ini ada hikmahnya.

"Kita pun tidak berada dalam kasut dia, jadi tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Ini mungkin ujian untuk dia juga.

“Kita doakanlah yang baik-baik untuk dia sebab satu hari nanti kita tak tahu apa pula ujian kita," katanya.

Nonny Orang Yang Baik
 

Disoal adakah masih mengikuti akaun media sosial pelakon itu, Niezam berkata, dia tidak lagi mengikuti akaun media sosial Nonny selepas mereka tidak jadi kahwin, kira-kira empat tahun lalu.

"Dia (Nonny) adalah hamba Allah yang baik, sangat suka bersedekah dan menjaga keluarganya.

“Saya tak nampak perkara lain dan hanya nampak perkara yang baik saja pada dia (selama saling rapat).

“Cuma, ada yang saya boleh (jawab) saya layan. Ada juga yang DM (mesej langsung) pada saya, bertanya," ujarnya lagi.

Nama Nonny kini menjadi bualan hangat apabila kerap mencetuskan kontroversi di media sosial seperti berkongsi video dia membotakkan kepala serta kemudian membuat hantaran berkemban di bilik air untuk menjual produk.

Untuk rekod, Niezam dan Nonny pernah menjalin hubungan cinta ketika digandingkan bersama dalam sebuah drama.

Malah pasangan tersebut turut merancang untuk mendirikan rumah tangga namun tidak kesampaian apabila mereka akhirnya membuat pengumuman tidak jadi berkahwin pada Oktober 2020 selepas berpisah secara baik.