

KAMPAR – Seorang ibu tunggal anak tiga tidak menyangka impian untuk memiliki rumah yang selesa direalisasikan oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak di bawah inisiatif Program Sayangi Rumahku.
Noormizah Othman, 50, berkata, para peringkat awal perceraiannya, dia nekad untuk mengharungi kehidupan demi memastikan kebajikan anak perempuan masing-masing berumur 21, 17 dan 16 tahun terus terpelihara sebaiknya.
“Bukan mudah kerana pada mulanya saya dengan anak-anak perlu menetap di rumah pusaka peninggalan ayah, namun perlu mengakui agak kurang selesa jika adik beradik lain pulang ke kampung semasa musim perayaan dan cuti sekolah. Anak-anak juga sedang membesar.
“Saya hanya bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat guaman dengan pendapatan RM1,700 sebulan jadi sumber itu hanya cukup-cukup untuk keperluan sekeluarga,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kuala Dipang di sini baru-baru ini.
Anak ketiga daripada tujuh beradik ini memaklumkan, arwah ayahnya yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan adalah idola pada dirinya untuk terus berjuang meneruskan kehidupan.
“Ayah menyara kami tujuh beradik dengan serba kepayahan dan bekerja kerja keras bagi memastikan keperluan kami sentiasa mencukupi. Saya juga telah kehilangan kasih ibu sejak berumur enam tahun yang mengajar saya untuk menjadi lebih berdikari,” katanya.
Noormizah mula memohon Program Sayangi Rumahku pada tahun 2024 secara online dan menyediakan dokumen fizikal berkaitan yang lengkap secara serahan pos.
“Alhamdulillah, pada hujung 2025 melalui panggilan telefon daripada Yayasan Perak bahawa ia telah diluluskan. Saya sujud syukur dengan berita tersebut dan impian saya untuk memiliki rumah sendiri telah terlaksana.
“Mana mungkin saya boleh memiliki rumah sendiri dengan pendapatan yang tidak seberapa. Rumah ini cukup selesa dengan mempunyai tiga bilik dan satu bilik air serta tandas dan dibiayai sepenuhnya tanpa mengeluarkan sebarang modal.
“Pemasangan utiliti seperti air dan elektrik adalah hasil simpanan saya selain bantuan adik-beradik yang lain,” katanya.
Program Sayangi Rumahku bertujuan menyediakan kemudahan asas dan kediaman selesa tanpa mengira latar belakang supaya penerima yang layak dengan kriteria yang ditetapkan mendapat sebuah harapan baharu dalam menikmati kehidupan berkualiti tanpa melibatkan sebarang bayaran.
Inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd. Azlan Helmi pula berbentuk kemudahan infrastruktur awam seperti jalan raya dan lampu jalan sekitar kawasan tersebut.
Bantuan itu selaras dengan flagship keenam Membasmi Miskin Tegar 2025 dengan antara penerajunya ialah Yayasan Perak cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif.
The post Noormizah sujud syukur terima berita miliki rumah daripada Yayasan Perak appeared first on Kosmo Digital.
