Norges Bank bukan lagi pemegang saham utama Pentamaster

16/05/2025 - 09:34
Gambar/Pentamaster Corp Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 16 Mei - Kurang sebulan selepas menjadi pemegang saham utama dalam syarikat pengeluar peralatan ujian automatik, Pentamaster Corp Bhd, Norges Bank kini tidak lagi memegang status tersebut.
Norges Bank yang mengurus dana pencen kerajaan Norway berkata, ia telah menjual sebanyak 2.4 juta saham bersamaan 0.34% pegangan dalam Pentamaster, kelmarin.
"Selain itu, sebanyak 417,200 saham atau 0.06% juga dipajakkan sementara oleh bank," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Harga jualan saham tersebut tidak dinyatakan.
Namun berdasarkan harga penutupan saham Pentamaster pada 14 Mei 2025 iaitu RM2.89, keseluruhan 0.4% pegangan berkenaan dianggarkan bernilai RM8.15 juta.
Dengan penjualan tersebut, pegangan saham Norges Bank dalam Pentamaster menurun kepada 4.87%, iaitu di bawah paras 5% yang melayakkan seseorang atau satu-satu pihak dikategorikan sebagai pemegang saham utama.
Norges Bank mula menjadi pemegang saham utama pada 17 April lalu dan pernah memegang sehingga 5.27% saham pada 5 Mei 2025.
Antara pihak yang masih menjadi pemegang saham utama Pentamaster adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 9.83%, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP sebanyak 8.17% dan Lembaga Tabung Haji dengan 5.48%. - DagangNews.com
standard

