Northport jalin kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran lahir tenaga kerja mahir dalam bidang pengurusan, operasi pelabuhan

5 Mar 2024 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Northport jalin kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran lahir tenaga kerja mahir dalam bidang pengurusan, operasi pelabuhan

azan

05/03/2024 - 15:52

KUALA LUMPUR 5 Mac - Northport (Malaysia) Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia bagi melahirkan tenaga kerja mahir secara bersama khusnya dalam bidang pengurusan serta operasi pelabuhan.

Perjanjian komprehensif itu merangkumi pelbagai bidang kerjasama, termasuk perkongsian kepakaran, pengetahuan, perkhidmatan dan perundingan dalam pengurusan dan operasi industri pelabuhan.

Perjanjian tersebut juga termasuk bagi melaksanakan dan mempromosikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pihaknya komited program serta inisiatif diterajui kerajaan bagi membangunkan pekerja mahir dan pada masa sama meggalakkan budaya pembelajaran berterusan dalam organisasi.

"Kami juga akan meneroka peluang untuk kerjasama selanjutnya khususnya dalam bidang pengurusan dan operasi pelabuhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Ts. Zuleah Darsong berkata, perkongsian strategik itu membuktikan komitmen antara kedua-dua pihak untuk membina negara, memandangkan pelabuhan dan logistik adalah industri yang penting bagi Malaysia.

"Dedikasi kami untuk meningkatkan pekerja mahir dalam pengurusan dan operasi pelabuhan melalui kerjasama ini adalah sejajar dengan visi dan misi kami untuk membina asas yang mampan, memupuk tenaga kerja mahir yang berpengetahuan, berdaya saing dan bertaraf dunia untuk negara," katanya.

JPK merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, memainkan peranan dalam pembangunan latihan kemahiran negara termasuk pembangunan Standard Pekerjaan Kemahiran Kebangsaan (NOSS), melaksanakan SKM, melatih tenaga pengajar kemahiran dan menggalakkan kerjasama bagi inisiatif latihan kemahiran.

Northport mula menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan JPK sejak 2014 dengan akreditasi SKM telah diberikan kepada 997 kakitangan Northport.

Kerjasama itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard industri dan memperkasakan kemahiran dan keupayaan kakitangan Northport bagi memenuhi permintaan sektor pelabuhan.

Northport sebelum ini telah menzahirkan komitmennya dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan berpengetahuan tinggi dalam industri pelabuhan dan logistik melalui kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan pusat latihan tempatan. - DagangNews.com