Kerajaan Selangor, TNB jalin kerjasama teroka projek tenaga boleh diperbaharui

Politics
5 Mar 2024 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan Selangor, TNB jalin kerjasama teroka projek tenaga boleh diperbaharui

herman

05/03/2024 - 17:34

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kerajaan negeri Selangor bersedia meneroka potensi kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui (RE), termasuk pembangunan taman solar berpusat (CSP).

Kerajaan negeri menerusi Worldwide Holdings Bhd milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan TNB memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk kerjasama itu hari ini di Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie, TNB Platinum.

MOU itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide, Datin Norazlina Zakaria.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MOU itu.

Fadillah berkata, kerjasama kerajaan negeri Selangor dan TNB adalah tepat pada masanya ketika negara sedang giat melaksanakan agenda peralihan tenaga dan memenuhi komitmen dalam pengurangan jejak karbon.

"Pemeteraian jalinan kerjasama ini adalah langkah awal kerajaan negeri dalam merebut peluang peralihan tenaga di negeri Selangor, sebagai antara pemangkin utama ke arah menggalakkan pertumbuhan dan kemampanan sosio-ekonomi negeri, demi mencapai kemakmuran bersama dalam mengaplikasikan ekonomi hijau," katanya menerusi Faebook beliau.

Semasa sidang media selepas majlis menandatangani MOU itu, Amirudin berkata, MOU itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah membangunkan CSP dengan kerjasama TNB.

Beliau berkata, MOU itu juga untuk meneroka potensi kerjasama dalam projek solar terapung, penyimpanan tenaga bateri, infrastruktur kenderaan elektrik, kecekapan tenaga dan projek tenaga boleh diperbaharui yang lain.

Menurut NETR, inisiatif CSP adalah merangkumi lima taman solar berskala besar 100MW — agregat 500MW — yang akan dibangunkan bersama oleh TNB dengan kerjasama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi dan syarikat pembangunan ekonomi negeri.

Bagi CSP di Selangor, Amirudin berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti tanah di Hulu Bernam, sambil menyatakan bahawa PKNS sudah memiliki tanah di kawasan itu.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya hanya di peringkat membincangkan potensi kerjasama dengan butiran yang belum dikukuhkan.

Beliau berkata, berdasarkan rancangan TNB, projek CSP boleh disiapkan pada 2025 atau 2026.- DagangNews.com