
Cermin mata pintar dicipta untuk menjadi penawar kepada ketagihan skrin telefon pintar. Tetapi teknologi ini sudah disalahguna untuk melakukan rakaman video tanpa kebenaran sehingga ia menerima nama jolokan negatif “kanta gelenya” di seluruh dunia.
Kerajaan Norway kini. bercadang memperkenalkan larangan sementara terhadap penggunaan cermin mata pintar dengan kecerdasan buatan (AI) di beberapa lokasi awam kerana bimbang orang ramai boleh dirakam gambar, video atau audio tanpa pengetahuan mereka.

Larangan yang dicadangkan meliputi kawasan seperti taman, pantai, pusat membeli belah dan acara awam. Ia turut boleh diperluaskan ke lokasi sensitif dari segi privasi seperti sekolah, taman permainan, kelab belia, klinik, kolam renang dan gimnasium yang mempunyai bilik persalinan.
Kerajaan Norway merancang membentangkan rang undang-undang kepada parlimen dan menubuhkan kumpulan pakar untuk mengkaji peraturan jangka panjang bagi teknologi boleh-pakai. Ia bukanlah larangan menyeluruh cermin mata pintar AI dengan penggunaan bagi tujuan peribadi dan yang tidak menimbulkan risiko terhadap privasi orang lain masih dibenarkan.
Di Malaysia isu pengharaman atau sebarang RUU berkaitan privasi pengambilan video menggunakan cermin mata pintar belum lagi memasuki radar kerajaan kerana ia belum dijual secara meluas. Tetapi Meta mengesahkan produk Ray-Ban Meta, dan Oakley dengan kamera terbina bakal dilancarkan secara rasmi Malaysia penghujung tahun ini. Jangan sudah terhantuk baru terngadah kerana isu privasi sehingga ini masih dipandang rendah.
Sumber – Reuters




