Nothing Ear & Ear (a): TWS dengan ANC terbaik, ChatGPT, harga bermula RM479

19 Apr 2024 • 8:25 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Dalam satu pembentangan yang disiarkan secara livestream dari Jepun, Nothing melancarkan dua produk audio mereka iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Menurut mereka, ini adalah produk audio paling canggih dan premium mereka pernah hasilkan.

Nothing Ear

image is not available

Nothing Ear adalah TWS yang lebih premium berbanding Nothing Ear (a). Rekaannya masih mengekalkan rupa Nothing Ear (2) yang lama dengan naik taraf di bahagian dalam.

image is not available

Di halaman rasmi produk, mereka katakan telah menguasai kejuruteraan bunyi untuk berikan pengalaman audio terbaik kepada pemakai. Contohnya, mereka katakan telah membangunkan pemacu audio khas sebesar 11mm dengan diafragma daripada materi seramik untuk membina diafragma pemacu audio untuk menambah baik runut dan kejituan audio.

Badan TWS juga telah direka semual dengan memberi penekanan pada aliran udara pada badannya. Aliran udara yang baik dimaklumkan mengekalkan keaslian audio yang tiba ke gegendang telinga.

image is not available

Sebagai produk premium, TWS ini menyokong teknologi Hi-Res Wireless Audio. Ia boleh menerima suapan 1Mbps 24 bit/192kHz menerusi LHDC 5.0 dan suapan 990kbps 24bit/96Khz menerusi LDAC. Nothing turut memasukkan algoritma Bass Enhance untuk jadikan bunyi frekuensi rendah lebih padu.

Sistem penyaring hingar pada Nothing Ear boleh kurangkan hingar sehingga 45dB, ia 1.8 kali lebih kuat berbanding Nothing Ear (2). Tahap saringan dikawal secara pintar dengan cara TWS mengesan sebarang kebocoran audio di dalam corong telinga anda.

image is not available

Satu bateri penuh memberikan waktu guna sehingga 8.5 jam ataupun 5.2 jam dengan ANC. Bekasnya pula boleh berikan waktu guna sehingga 40.5 jam.

Harga jualan Nothing Ear adalah RM695 tapi tarikh jualan rasminya di Malaysia masih belum diumumkan.

image is not available

Nothing Ear (a)

image is not available

Nothing Ear (a) adalah variasi lebih mampu milik harganya adalah RM479. Sama seperti Nothing Ear, tarikh jualannya juga masih belum ada. TWS ini ada rekaan hampir serupa dengan Nothing Ear. Jadi anda tak kehilangan terlalu besar daripada segi rupa.

image is not available

Lagi yang anda tidak hilang adalah ia gunakan pemacu 11mm, sama saiz seperti versi premium tapi ia bukanlah pemacu baharu dengan diafragma berasaskan seramik, sebaliknya mungkin diwarisi daripada TWS generasi sebelum ini. Fungsi penyaring hingar juga sama iaitu pada paras 45dB. Ia masih lebih berkuasa berbanding Nothing Ear (2).

image is not available

Mungkin beza terbesar Ear (a) berbanding Ear adalah pada sokongan audio beresolusi tinggi. Hal ini kerana, Ear (a) tidak menyokong LDHC 5.0 tapi masih menyokong LDAC.

image is not available

Kelebihan yang dimiliki Ear (a) adalah hayat bateri yang lebih panjang. Dengan ANC terpasang, ia boleh beroeprasi sehingga 5.5 jam lamanya dengan ANC terpasang ataupun 9.5 jam dengan ANC dimatikan.

Ciri sepunya lain yang mereka berkongsi adalah seperti:

  • Google Fast Pair
  • Microsoft Swift Pair
  • Dual Connection

image is not available

Integrasi ChatGPT ke dalam Nothing TWS

Bersama-sama dengan pengumuman 2 TWS ini, Carl Pei selaku CEO turut mendedahkan ciri baharu yang mereka bangunkan iaitu integrasi ChatGPT ke dalam sistem operasi NothingOS.

image is not available

Ciri ini membolehkan anda gunakan ChatGPT seperti menyeru Google Assistant, dengan cara memicit bahagian peka sentuhan TWS untuk seru.

image is not available

Sebelum gunakannya, konfigurasi boleh dilakukan di aplikasi Nothing X. Sejauh manakah integrasi ChatGPT ini dilakukan masih belum jelas sama ada ia boleh digunakan oleh peranti Android yang lain ataupun tidak.