
Nothing memperlihatkan pilihan warna merah jambu untuk telefon terbarunya Nothing Phone (4a). Ini merupakan kali pertama syarikat itu menawarkan pilihan warna tersebut dan kehadirannya menjadi tambahan menarik kepada barisan warna sedia ada. Reka bentuk telefon ini kekal sama seperti versi putih yang telah didedahkan sebelum ini. Namun begitu, perbezaannya hanya terletak pada warna. Warna merah jambu ini juga digambarkan sebagai cukup menyerlah dan comel kerana ia menyerupai rona merah jambu cair yang lembut.

Selain itu, Nothing Phone (4a) hadir dengan reka bentuk Glyph yang lebih moden. Ia mempunyai enam LED putih yang disusun menegak di sisi kanan kamera manakala LED terakhir berwarna merah berfungsi sebagai indikator rakaman. Telefon ini juga menyokong pelbagai notifikasi seperti dolphin, wings, glyph progress dan shutter. Di samping itu, bonggol kamera direka lebih kecil berbanding model sebelum ini kerana ia menggunakan lensa telefoto tetra prism. Reka bentuk ini bukan sahaja lebih kemas malah memberikan keselesaan tambahan ketika digunakan.

