Nothing Phone (3) adalah telefon pintar AI Nothing yang akan dilancarkan pada tahun hadapan. Nothing OS akan menjadi sistem operasi Android dengan integrasi pembantu maya yang dikuasakan kecerdasan buatan yang boleh membantu memudahkan tugasan harian. Terbaru, satu ciri AI generatif audio telah diperkenalkan melalui Nothing Widget.

Widget ini adalah News Reporter, di mana Nothing akan mencari berita menarik mengikut citarasa pengguna dan merumuskannya dalam bentuk audio. Setiap hari bermula di pagi hari (bergantung kepada zon masa) satu demi satu berita akan disampaikan dalam bentuk audio dan terhad kepada 8 berita sehari. Suara audio ini adalah oleh Tim Holbrow iaitu CFO Nothing.

Kategori berita yang disokong adalah perusahaan, hiburan, sains, kesihatan, sukan, teknologi dan berita biasa. Setiap berita tiada sumber atau pautan diberikan, jadi pengguna perlu yakin dengan Nothing yang ia adalah daripada sumber yang sahih. Satu audio mempunyai durasi 1 minit, tiada pendaftaran atau langganan diperlukan dan kawalan audio boleh dilakukan melalui talam notifikasi. Ciri ini adalah sebahagian daripada Nothing OS 2.6 untuk Phone (2a) Plus dan akan diberikan kepada semua pengguna Nothing melalui kemas kini widget di Play Store.
