Lebih tiga dekad berada dalam industri muzik membawa Nourul Depp melalui pelbagai fasa kehidupan, daripada dunia seni dan keusahawanan sehinggalah pembangunan diri serta pemerkasaan wanita.
Kini, perjalanan itu menemukan satu lagi ruang apabila penyanyi dan usahawan berkenaan sekali lagi dipilih menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026 sebagai penceramah jemputan.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu akan berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober ini.
Turut terlibat sebagai penceramah jemputan ialah Dato Sri Alha Alfa, manakala Atilia tampil sebagai pengajar jemputan.
Bagi Nourul, penglibatan kali kedua dalam PERANTIS bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya satu peluang untuk berkongsi sesuatu yang lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama PERANTIS.
“Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain,membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Daripada Pentas Muzik Ke Dunia Pembangunan Diri
Selepas bertahun-tahun dikenali menerusi bidang muzik, Nourul kini turut aktif sebagai usahawan, RMT Certified Life Coach dan penceramah yang diakreditasi HRD Corp.

Beliau juga merupakan pengasas Firetalk, platform pembangunan diri yang memberi tumpuan kepada kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, mindset dan transformasi peribadi.
Bagi Nourul, Firetalk bukan sekadar ruang untuk memberikan motivasi, tetapi tempat untuk wanita melihat kembali diri mereka, berdepan dengan cabaran serta pengalaman hidup dan akhirnya mengenal potensi yang mungkin selama ini terlepas pandang.
Pendekatan itu selari dengan mesej yang dibawanya menerusi PERANTIS.
“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi,” ujarnya lagi.
Menurut Nourul, perubahan terhadap cara seseorang wanita melihat dirinya sendiri juga boleh memberi kesan kepada cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya.
Perjalanan hidupnya sendiri menjadi sebahagian daripada perkara yang ingin dikongsikan.
Daripada membina kerjaya sebagai penyanyi sejak usia muda, melalui pelbagai perubahan dalam kehidupan dan kerjaya, hinggalah kepada keusahawanan, coaching dan pembangunan diri, setiap fasa itu membentuk pandangannya mengenai kekuatan serta potensi wanita.

Malah, 2026 turut menyaksikan Nourul merealisasikan impian mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan lebih tiga dekad dalam muzik, tetapi turut menjadi simbol kepada keberanian untuk membuka lembaran baharu.
Kini, melalui PERANTIS 2026, Nourul mahu membawa semangat yang sama kepada lebih ramai wanita.
“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah. Kita boleh sembuh. Kita boleh membina semula diri, dan kita boleh memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun,” katanya.
Bagi Nourul, peranan yang lebih penting bukan menentukan siapa seseorang wanita sepatutnya menjadi, tetapi membantu mereka menemui sendiri potensi yang ada dalam diri.
PERANTIS 2026 diperuntukkan RM4 juta oleh KPWKM dengan sasaran melibatkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara. - Getaran, 2 Oktober 2026
