
SuperFile Trackhouse MotoGP Team mencipta sejarah apabila meraih keputusan 1-2 buat kali pertama dalam MotoGP menerusi kemenangan Raul Fernandez diikuti rakan sepasukannya, Ai Ogura, dalam perlumbaan Sprint Grand Prix Belanda di TT Circuit Assen, Sabtu.
Kejayaan itu menjadi pencapaian terbesar pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut sejak menyertai MotoGP, selain mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga Kejuaraan Berpasukan.

Raul memulakan perlumbaan dari petak keempat selepas mencatat masa 1 minit 30.915 saat pada sesi Kelayakan 2 (Q2), manakala Ogura bermula di petak kedua hasil catatan 1:30.823.
Dalam perlumbaan 13 pusingan itu, Raul melakukan permulaan yang mantap sebelum naik ke tempat kedua pada pusingan kedua dan mengambil alih pendahuluan pada pusingan ketiga. Pelumba Sepanyol itu kemudian mengawal perlumbaan dengan tenang sehingga melintasi garisan penamat sebagai juara dengan masa keseluruhan 20 minit 05.310 saat.
Ogura pula membuat permulaan cemerlang apabila mendahului seketika pada pusingan pertama. Bagaimanapun, pelumba Jepun itu kehilangan beberapa posisi sebelum bangkit semula untuk kembali ke tempat kedua pada pusingan kesembilan.
Walaupun cuba merapatkan jurang dengan Raul pada penghujung perlumbaan, Ogura terpaksa berpuas hati di tempat kedua, hanya 0.362 saat di belakang rakan sepasukannya. Namun, beliau tetap mencuri perhatian apabila mencatat masa terpantas perlumbaan, 1 minit 32.003 saat, pada pusingan terakhir.
Keputusan itu menyaksikan Raul mengutip 12 mata untuk meningkatkan jumlah kutipan kepada 118 mata dan kini berada di tangga kelapan keseluruhan kejuaraan dunia. Ogura pula menambah sembilan mata untuk mengumpul 143 mata, sekali gus mengekalkan kedudukan kelima dalam carta pelumba.
Raul menyifatkan kemenangan itu sebagai antara detik terbaik dalam karier MotoGPnya walaupun sedikit kecewa terlepas peluang bermula dari petak utama selepas dikenakan penalti pada sesi kelayakan.
“Saya sangat gembira. Ini hampir menjadi hari Sabtu terbaik dalam hidup saya di MotoGP. Pasukan banyak membantu mengubah kekecewaan saya selepas sesi kelayakan menjadi motivasi untuk perlumbaan. Saya mempunyai rentak yang baik, tetapi perlumbaan utama esok pasti lebih mencabar kerana saya percaya Ai mempunyai kelajuan yang lebih baik pada penghujung perlumbaan,” katanya.
Ogura pula menganggap kejayaan berganda pasukan lebih penting daripada keputusan peribadinya.
“Saya sangat gembira kerana ini adalah keputusan 1-2 pertama buat SuperFile Trackhouse MotoGP Team. Saya kehilangan masa pada dua atau tiga pusingan pertama apabila beberapa pelumba memintas saya. Selepas kembali ke tempat kedua, saya cuba mengejar Raul tetapi jurang yang sudah terbentuk terlalu besar. Kami perlu memperbaiki permulaan perlumbaan untuk perlumbaan utama esok,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan, Davide Brivio, menyifatkan keputusan tersebut sebagai detik bersejarah yang membuktikan peningkatan besar jentera Aprilia musim ini.
“Ini satu pencapaian bersejarah. Menduduki tempat pertama dan kedua adalah keputusan terbaik yang boleh diharapkan. Raul dan Ai melakukan tugas yang luar biasa, manakala peningkatan prestasi jentera Aprilia jelas berbanding musim lalu. Tahniah kepada kedua-dua pelumba, Aprilia dan seluruh pasukan. Kami akan menikmati detik ini, tetapi pada masa sama terus fokus menghadapi perlumbaan seterusnya,” katanya.
The post SuperFile Trackhouse MotoGP Team Cipta Sejarah Dengan Keputusan 1-2 Di Sprint Assen appeared first on TW Media.




