
KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani isu konservasi hutan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hutan di negara ini hanya dilindungi sebanyak 54 peratus sahaja berbanding tahun 1992 dengan 90 peratus.
“Kerajaan membuat peningkatan besar menerusi pindahan fiskal ekologi daripada RM70 juta kepada RM250 juta selain menambah bilangan renjer sebagai usaha memulihara hutan di setiap negeri.
“Perbincangan bersama kerajaan negeri bagi usaha ini akan diteruskan terutama dalam menghadapi cabaran iklim,” katanya dalam sidang media mesyuarat pelantikan Panel Penasihat Perubahan Iklim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Ujar Nik Nazmi, Malaysia memainkan peranan penting dalam pemuliharaan hutan lebih-lebih lagi peningkatan pembangunan dan industri turut menyumbang kepada masalah perubahan iklim.
Tambahnya, setiap negara perlu melaksanakan pelarasan antara alam sekitar dan juga pembangunan industri bagi membantu mengekalkan hutan supaya terus dipelihara.
“Cabaran paling utama perubahan iklim adalah memastikan keseimbangan dan keadilan pemuliharaan alam sekitar di peringkat global,” katanya.

