Nubhan fail komital terhadap Dr Fie, sedia tarikh balik jika ada permohonan maaf. 'Terlalu banyak fitnah timbulkan kebencian'

LocalEntertainment
5 May 2026 • 2:42 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Nubhan fail komital terhadap Dr Fie, sedia tarikh balik jika ada permohonan maaf. 'Terlalu banyak fitnah timbulkan kebencian'

PENYANYI Nubhan tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk prosiding komital terhadap bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Ditemui SinarPlus, Nubhan menegaskan, dia sudah lama berdiam diri dan hanya bertindak mengikut permintaan pihak sana

"Selama ini saya banyak diam. Semakin saya diam, makin menjadi-jadi. Perlanggaran ini sendiri ialah permintaan daripada pihak sana.

"Saya hanya bersetuju, tidak banyak bercakap dan menghormati apa yang telah dipersetujui. Jadi, wajarlah pihak mahkamah menentukan," kongsinya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Sekali Lagi dan Kisah Kasih itu mendakwa banyak perkara yang tidak benar terjadi memberik impak negatif kepadanya.

"Sebenarnya terlalu banyak fitnah berlaku selama ini dan saya tidak mahu menggunakan saluran tidak betul. 

"Perkara itu menimbulkan kebencian terhadap saya, banyak tohmahan dan memburuk-burukkan saya," kata Nubhan kepada SinarPlus.

Image from: Nubhan fail komital terhadap Dr Fie, sedia tarikh balik jika ada permohonan maaf. 'Terlalu banyak fitnah timbulkan kebencian'

"Bagi saya, kita ada undang-undang sebagai saluran tepat untuk apa sahaja pengadilan.

Dalam pada itu, tindakan berkenaan diambil kerana ingin mempertahankan dan membersihkan nama.

"Saya menggunakan saluran ini untuk mempertahankan dan membersihkan nama.

"Sebab fitnah ni perkara yang besar. Kalau saya nak guna juga media sosial ataupun hanya untuk melepaskan emosi tanpa berfikir panjang ataupun tanpa mengingatkan akibat, banyak saya boleh buat.

"Tapi disebabkan saya menghormati, banyak pihak yang saya perlu jaga. Jadi, saya hanya ambil pendekatan untuk diam. Tapi bila berdiam, mungkin orang ingat saya takut dan salah.

"Tiada niat untuk memburukkan apa-apa kerana saya rasa ini perkara yang wajar kerana apabila tiada perkara macam ini (tindakan undang-undang) berlaku, orang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan," kongsinya.

Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 12 itu berkata, dia tidak pernah membuka aib mana-mana pihak dan hanya ingin memastikan keadaan tidak bertambah buruk.

"Saya tak menggunakan saluran media sosial ataupun mencari pengaruh untuk mendapat sokongan disebabkan oleh perceraian. Tidak langsung saya membuka aib atau menceritakan benda-benda yang bukan-bukan. 

"Saya tidak menggunakan media sosial untuk menangis sebab saya tahu banyak akibat daripada media sosial," tutur Nubhan.

Image from: Nubhan fail komital terhadap Dr Fie, sedia tarikh balik jika ada permohonan maaf. 'Terlalu banyak fitnah timbulkan kebencian'

Dalam pada itu, Nubhan juga menafikan tidak mengambil kira kesan tindakannya itu kepada tiga  cahaya matanya. 

"Kalau kita tak fikir panjang, ia akan memberi kesan kepada anak-anak. Apa anak saya tengok, apa anak saya akan cakap nanti apabila sudah besar kerana apa yang mereka baca, itu yang mereka faham. 

"Jadi, saya rasa kalau saya terus berdiam dan membiarkan perkara ini berlarutan  tanpa apa-apa tegahan, ia mungkin lebih buruk.  Apa lagi anak saya akan fikir nanti?," kongsinya.

Dalam pada itu, Nubhan  tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara sebaliknya tidak keberatan untuk menarik balik tindakan sekiranya ada permohonan maaf daripada pihak Dr Fie.

"Saya tiada masalah untuk memaafkan dan tidak meneruskan kes ini kerana kita sedia maklum kesan daripada tindakan kita.

"Kalau hendak ikutkan perasaan marah, ramai yang marah. Saya pun marah juga, tetapi jangan terlalu mengikut emosi.

"Kalau hendak kata banyak perkara hendak diluah, saya pun ada perkara hendak luahkan tetapi kenapa perlu lakukan ia sehingga menimbulkan perkara tidak baik.

"Saya hormat dia sebagai bekas isteri saya, tidak sesekali untuk memburuk-burukkan atau aibkan. Tetapi apabila emosi tidak mampu lagi dikawal, tindakan seperti ini diambil menerusi saluran yang betul.

Terdahulu Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, yang hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada jam 9.19 pagi.

Nubhan dan Dr Fie  sah bercerai talak dua dengan lafaz talak pertama berlaku pada 2017 dan talak kedua pada Ogos 2025 selepas 10 tahun berumah tangga. Perceraian mereka disahkan oleh Mahkamah Syariah Sepang pada 2 Dec lalu.

Daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4.

 

 

View Original Article