Terkejut terima notis mahkamah, Dr Fie harap Nubhan lebih prihatin demi mental health & masa depan anak - 'Kenapa buat saya macam ni...'

LocalFamily & Parenting
5 May 2026 • 2:16 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Terkejut terima notis mahkamah, Dr Fie harap Nubhan lebih prihatin demi mental health & masa depan anak - 'Kenapa buat saya macam ni...'

KONFLIK antara penyanyi Nubhan dan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sekali lagi menjadi perhatian. 

Kali ini, ia bukan sekadar kisah perpisahan, tetapi beralih ke fasa baharu apabila Nubhan memfailkan prosiding komital terhadap bekas isterinya atas dakwaan melanggar perintah mahkamah.

Tindakan tersebut nyata mengejutkan wanita yang cukup mesra disapa Dr Fie. 

Ditemui selepas prosiding di mahkamah, beliau tidak berselindung berkongsi bahawa situasi itu memberi kesan besar terhadap keadaan mental dan emosinya, lebih-lebih lagi ketika fokus hidupnya kini tertumpu kepada anak-anak dan mencari rezeki.

Image from: Terkejut terima notis mahkamah, Dr Fie harap Nubhan lebih prihatin demi mental health & masa depan anak - 'Kenapa buat saya macam ni...'

“Seminggu lalu saya terima notis mahkamah dan memang terkejut. Apa yang saya harapkan sekarang, doakan semuanya baik-baik sahaja. 

"Saya sedang menjaga anak-anak dan berharap Encik Ahmad Nubhan dapat bertindak dengan baik, demi saya dan anak-anak.

“Fikirkan masa depan anak-anak… kesan tindakan ini pada mental dan kesihatan saya,” luahnya, tenang namun sarat emosi.

Dalam kesibukan mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dan pekerja, kehadiran isu undang-undang ini sedikit sebanyak mengganggu rutin hariannya. 

Terkilan

Malah, pagi prosiding berlangsung, beliau terpaksa mengutamakan urusan mahkamah berbanding menghantar anak ke sekolah seperti kebiasaan.

“Saya penat bekerja dan dalam masa sama perlu urus anak-anak. Pagi ini pun saya tidak dapat hantar mereka ke sekolah kerana perlu hadir ke mahkamah.

“Saya terkilan dan tidak bersetuju dengan tindakan menghantar notis kepada saya. Insya-ALLAH, 10 Ogos nanti kita akan dengar perbicaraan kes ini,” katanya lagi.

Image from: Terkejut terima notis mahkamah, Dr Fie harap Nubhan lebih prihatin demi mental health & masa depan anak - 'Kenapa buat saya macam ni...'

Di sebalik segala persoalan yang masih belum terjawab, Dr Fie memilih untuk tidak membuat sebarang spekulasi. 

Baginya, jalan terbaik adalah menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Saya sendiri tidak tahu perincian prosiding hari ini. Hubungan saya dengan anak-anak baik sahaja, jadi saya tidak sangka perkara begini berlaku.

“Saya juga tidak tahu kenapa Nubhan bertindak sedemikian, tetapi tidak mengapa… kita ikut sahaja proses mahkamah dan cara yang betul,” ujarnya, cuba berdiri dalam tenang.

Image from: Terkejut terima notis mahkamah, Dr Fie harap Nubhan lebih prihatin demi mental health & masa depan anak - 'Kenapa buat saya macam ni...'

Menurut peguam yang mewakilinya, Norhazura Hamzah, prosiding komital itu difailkan susulan dakwaan pelanggaran perintah mahkamah berkaitan kenyataan yang didakwa dimuat naik di media sosial oleh anak guamnya.

Untuk rekod, perkahwinan pasangan tersebut yang dibina sejak 29 Ogos 2015 berakhir apabila Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan lafaz cerai talak kedua yang dibuat oleh Nubhan pada Ogos tahun lalu sebagai sah mengikut hukum syarak.