Nubia Neo 5 Max 5G kini rasmi di Malaysia sebagai tambahan baharu dalam barisan produk Nubia. Peranti ini jelas menyasarkan pengguna yang mahukan keseimbangan antara hiburan multimedia dan prestasi permua, namun masih berada dalam julat harga pertengahan.

Ia dilengkapi dengan skrin AMOLED 7.5″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan dengan butang bahu Neo Triggers 5.0 yang mampu mencapai latensi serendah 4.7ms melalui algoritma NeoTap Esports Touch.
Tunjang utamanya dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 7100 bersama memori 8GB RAM serta sokongan tambahan sehingga 12GB Dynamic RAM melalui NeoTurbo Engine. Sistem penyejukan turut diberi perhatian dengan kebuk udara seluas 30,000mm² untuk membolehkan suhu puncak ketika gaming kekal stabil.

Menariknya, Nubia turut memperkenalkan ciri berasaskan AI seperti Demi AI Copilot 2.0 yang berfungsi sebagai pembantu permainan masa nyata, chatbot menarik, serta sistem balasan automatik pintar. Bateri besar 7,000mAh disediakan menyokong pengecasan pantas 45W serta fungsi Bypass Charging untuk mengurangkan haba ketika bermain. Bagi melengkapkan pengalaman hiburan, peranti ini hadir dengan pembesar suara stereo Dolby Atmos serta motor linear Z-Axis untuk haptik yang lebih realistik.

Harga rasmi Nubia Neo 5 Max 5G di Malaysia ialah RM1,399 untuk varian 8GB + 256GB. Versi dengan storan lebih besar 512GB pula akan tiba pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Pelanggan yang membuat pembelian awal antara 17 Ogos hingga 16 September 2026 boleh menikmati harga promosi RM1,299 bersama hadiah percuma Nubia Cooler selagi stok masih ada.


