amree14/09/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR14 Sept — NuEnergy Holdings Berhad (NHB) memperkukuh asas pendapatan berulang menerusi pelaburan dalam kemudahan solar fotovolta (PV) berkapasiti 21 MWp bernilai RM48.76 juta yang akan dibangunkan di 49 lokasi atas bumbung premis agensi kerajaan.
Menurusi makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut melalui anak syarikat milik penuh, IL Energy Sdn Bhd (ILE), akan memiliki dan mengekalkan pemilikan sistem solar PV tersebut selepas siap, sekali gus menambah aset tenaga boleh diperbaharui (RE) milik kumpulan.
Pada masa sama, anak syarikat NHB, Armani Sinar Sdn Bhd (ASSB), menerima surat penganugerahan (LOA) daripada anak syarikat agensi kerajaan berkenaan pada 11 September 2026 untuk bertindak sebagai rakan strategik kepada kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
"Sebagai rakan strategik, ASSB akan menyediakan sokongan reka bentuk kejuruteraan, menetapkan piawaian teknikal, menjalankan semakan teknikal serta pengesahan tapak, selain membekalkan modul solar PV dan penyongsang solar bagi projek berkenaan," katanya.
Projek yang bernilai kira-kira RM48.76 juta itu dijangka siap pada suku kedua 2027, manakala NHB akan menyediakan jaminan korporat bagi obligasi kewangan ILE serta obligasi pelaksanaan ASSB.
Menurut NHB, pelaburan itu selari dengan strateginya untuk membina asas pendapatan berulang daripada aset tenaga boleh diperbaharui milik sendiri, di samping mengekalkan aktiviti kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).

Pemilikan aset solar berkenaan membolehkan kumpulan menjana pendapatan tenaga berulang sepanjang tempoh pengaturan pembelian tenaga, sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan yang sebelum ini lebih bergantung kepada projek kejuruteraan dan pembinaan.
Projek itu turut memperluas aktiviti tenaga boleh diperbaharui (RE) komersial dan industri NHB daripada kemudahan industri serta pembuatan kepada premis awam, selain mewujudkan rekod pengalaman yang boleh menyokong usaha program solar kemudahan kerajaan dan infrastruktur awam lain.
"Bagi pembiayaan, pelaburan ILE akan dibiayai menerusi gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman, namun NHB menjangkakan langkah itu tidak memberi kesan material terhadap tahap gearing kumpulan," tambahnya.
Selepas projek siap, kemudahan solar itu dijangka menyumbang pendapatan tenaga berulang dan meningkatkan aset bersih kumpulan, manakala LOA yang diterima ASSB dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham NHB.
NHB bagaimanapun terdedah kepada risiko prestasi operasi sistem solar, penerimaan bayaran tenaga serta risiko pihak berkontrak, selain risiko pelaksanaan, kelewatan kelulusan, sambungan grid, kos dan bekalan peralatan.
Projek berkenaan namun tidak mengubah modal saham atau pegangan pemegang saham utama, dan dijangka siap pada suku kedua 2027. - DagangNews.com






