Nufam bantah cadangan kru penerbangan lapor diri 2 jam awal untuk saringan dadah

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nufam bantah cadangan kru penerbangan lapor diri 2 jam awal untuk saringan dadah Image from: Nufam bantah cadangan kru penerbangan lapor diri 2 jam awal untuk saringan dadah liza12/08/2026 - 12:10 Gambar hiasan janaan AI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) membantah cadangan supaya juruterbang dan kru kabin melaporkan diri sehingga dua jam lebih awal bagi menjalani saringan dadah sebelum penerbangan kerana langkah itu dikhuatiri hanya menambah beban kepada anak kapal.

 

Nufam berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing perlu memahami keadaan kerja kru penerbangan yang sememangnya mencabar, termasuk waktu mula bekerja pada awal pagi, tamat lewat malam, tempoh bertugas yang panjang serta jadual penerbangan yang tidak menentu.

 

Menurut kesatuan itu, perubahan jadual kerja dan waktu tidur yang terganggu juga boleh menyebabkan kru penerbangan mengalami keletihan yang berisiko menjejaskan keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas dengan baik.

 

Nufam berkata, sebarang dasar baharu yang memerlukan kru hadir lebih awal bukan sahaja memberi kesan kepada kru kabin, malah boleh menambah beban kepada pekerja lain dalam industri penerbangan.

 

Kesatuan itu berpandangan cadangan menambah sehingga dua jam untuk menjalani saringan dadah sebelum penerbangan tidak wajar dilaksanakan tanpa mengambil kira kesan terhadap tahap keletihan dan tekanan mental kru penerbangan.

 

Keletihan Kru Boleh Jejas Keselamatan Penerbangan

Nufam berkata, keletihan boleh menjejaskan tahap kewaspadaan, tumpuan, masa tindak balas dan keupayaan membuat keputusan, termasuk ketika kru perlu bertindak dalam situasi kecemasan di dalam pesawat.

 

Menurut Nufam, isu keletihan bukan sekadar berkaitan kebajikan pekerja, sebaliknya turut membabitkan aspek keselamatan penerbangan kerana kru yang keletihan mungkin tidak dapat bertindak secara optimum ketika diperlukan.

 

Kesatuan itu turut mempersoalkan pihak yang akan menanggung kos tambahan sekiranya kru diwajibkan hadir sehingga dua jam lebih awal daripada waktu bertugas seperti yang dicadangkan.

 

Nufam mempersoalkan sama ada syarikat penerbangan atau kerajaan akan membayar gaji tambahan kepada kru sekiranya tempoh bekerja mereka bertambah berikutan keperluan menjalani saringan sebelum penerbangan.

 

Pada masa sama, Nufam berkata sekiranya syarikat penerbangan benar-benar memerlukan kru melaporkan diri lebih awal atas faktor operasi atau keselamatan, perkara paling utama perlu diberi perhatian terlebih dahulu ialah masalah keletihan dalam kalangan kru penerbangan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Jakarta, didakwa seludup 26kg dadah MDMA ketika bertugas

 

Kru Penerbangan Sudah Ada Tempoh Rehat Yang Ditetapkan

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin Abdul Wahab berkata, Tiong sepatutnya memahami bahawa setiap kru penerbangan termasuk juruterbang, perlu mendapatkan tempoh rehat sebelum menjalankan tugas penerbangan.

 

Beliau berkata tempoh rehat minimum dan had masa penerbangan ditetapkan bagi memastikan kru mempunyai masa rehat yang mencukupi sebelum menjalankan tugas, selain mengambil kira jadual operasi penerbangan.

 

Katanya, keperluan rehat sebelum dan selepas penerbangan perlu dipatuhi demi keselamatan kru serta kelancaran operasi termasuk waktu mereka perlu melaporkan diri sebelum sesuatu penerbangan berlepas.

 

Ismail turut berkata saringan dadah sebelum penerbangan dalam jumlah besar boleh menimbulkan tekanan kepada kru dan berpotensi menyebabkan kelewatan kepada penerbangan sekiranya ratusan pekerja perlu diperiksa pada masa yang sama.

 

Beliau mengakui pemeriksaan ketat di lapangan terbang sememangnya diperlukan, namun menegaskan kes penyeludupan dadah melibatkan golongan itu adalah kes terpencil dan tidak seharusnya menyebabkan keseluruhan tenaga kerja dikenakan beban tambahan.

 

Nufam berkata kru penerbangan juga menjalani pemeriksaan kesihatan dan keselamatan secara berkala sebagai sebahagian daripada keperluan sedia ada, justeru keperluan hadir dua jam lebih awal untuk pemeriksaan tambahan dilihat tidak banyak mengubah tahap keselamatan yang telah ditetapkan.

 

Kesatuan itu turut menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berunding secara langsung dengan Nufam sebelum mencadangkan sebarang perubahan yang melangkaui garis panduan sedia ada yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

 

Menurut Nufam, garis panduan berkenaan sudah merangkumi perkara penting berkaitan tugas harian dan kebajikan kru kabin, termasuk pengurusan risiko keletihan, waktu bertugas dan melaporkan diri, tempoh rehat, waktu bekerja, penyusunan jadual penerbangan serta bayaran bagi waktu kerja tambahan.

 

Nufam menegaskan aspek keselamatan tidak sepatutnya dicapai dengan terus menambah masa kerja kru penerbangan, sebaliknya sebarang langkah baharu perlu mengambil kira tahap keletihan, tempoh rehat dan kebajikan petugas barisan hadapan dalam industri penerbangan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved