
PETALING JAYA: Kru penerbangan perlu diwajibkan melaporkan diri lebih awal bagi menjalani saringan keselamatan sebagai antara langkah memperketat kawalan susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak berkuasa kawal selia penerbangan bersama agensi berkaitan perlu mengkaji semula pengurusan dalaman, kawalan keselamatan dan langkah pencegahan risiko dalam sektor penerbangan.
Menurut beliau, pemeriksaan lebih ketat perlu dijalankan terhadap juruterbang dan kru kabin sebelum memulakan tugas serta dikuatkuasakan secara bersepadu antara pihak berkuasa kawal selia dan polis.
Katanya, selain membabitkan nyawa penumpang, aspek keselamatan penerbangan turut memberi kesan terhadap tahap keyakinan pelancong antarabangsa terhadap sistem keselamatan negara.
“Kakitangan boleh diarahkan melapor diri hingga dua jam sebelum bertugas untuk menjalani saringan, jika perlu. Mereka hanya boleh dibenarkan memulakan tugas selepas melepasi saringan ditetapkan.
“Golongan profesional berkaitan boleh menentukan jenis dan skop ujian sesuai. Paling penting ialah kita memiliki kaedah pencegahan lebih proaktif dan berkesan bagi mengelak kes seperti ini (penyeludupan bahan terlarang) berulang.
“Semua pihak perlu bekerjasama menutup setiap kelompangan, memulihkan keyakinan terhadap sektor penerbangan dan melindungi imej Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kejadian seorang juruterbang Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di sebuah lapangan terbang negara itu kerana disyaki cuba menyeludup dadah pada 28 Julai lalu.
Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas pemeriksaan menemukan 15 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi serta syabu dalam bagasinya.
Dalam pada itu, King Sing menggesa sistem saringan dan keselamatan lapangan terbang dikaji semula, termasuk dari aspek peralatan, prosedur serta penyelarasan antara agensi supaya lebih berupaya menangani dan mencegah cabaran keselamatan semasa.
Katanya, faktor keselamatan tidak boleh hanya dipandang serius selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada prosedur, pemantauan dan operasi harian.
“Kes baru-baru ini, perlu dilihat sebagai amaran serius, bukannya sekadar membabitkan individu kerana ia mendedahkan wujudnya kelemahan dalam sistem penerbangan.
“Syarikat penerbangan dan pihak berkuasa kawal selia tetap bertanggungjawab memastikan tiada kelompangan dalam pengurusan keselamatan, sama ada kakitangan menerbangkan pesawat pada hari terbabit atau tidak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebimbangan yang timbul susulan kes terbabit bukan sekadar sama ada individu berkenaan menerbangkan pesawat pada hari kejadian, sebaliknya turut melibatkan keputusan ujian air kencing yang positif dadah serta kelemahan dalam aspek pemantauan.
“Penumpang mempersoalkan mengapa Malaysia Airlines lebih menekankan suspek tidak mengendalikan penerbangan, bukannya terlebih dahulu memohon maaf kepada orang ramai dan menangani isu terbabit.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat usaha memperkecil tahap keseriusan kes ini, selain agensi dan syarikat tidak seharusnya menunggu hingga berlaku kejadian tidak diingini sebelum tindakan diambil,” katanya. –UTUSAN
The post Menteri cadang wajibkan kru penerbangan lapor diri lebih awal untuk saringan keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.





