Nurul Izzah dan Tengku Zafrul: Bakal PM dan TPM Malaysia?

Opinion
7 Jun 2025 • 10:00 AM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Kredit Imej: MCOBA / Nurul Izzah FB

Sehari selepas Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada kabinet, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa beliau telah menyertai PKR.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara telah terlebih dahulu memperkecilkan langkah tersebut dengan mengatakan bahawa langkah Tengku Zafrul pasti akan gagal,dalam erti kata bahawa Azmi percaya Tengku Zafrul akan gagal di PKR sebagaimana beliau gagal di Umno. Namun saya tidak bersetuju dengan pandangan.

Dalam pandangan saya, Tengku Zafrul akan berjaya dalam PKR. Malah, saya berani bertaruh bahawa jika Nurul Izzah menjadi Perdana Menteri kita yang seterusnya, Tengku Zafrul berkemungkinan besar akan menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau.

Masalah Tengku Zafrul dalam Umno ialah Umno adalah parti berasaskan identiti dan bukannya berasaskan prestasi, dan Tengku Zafrul adalah seorang ahli politik yang tidak mempunyai kemahiran untuk bermain dengan politik identiti.

Untuk bermain politik identiti, seorang ahli politik perlu melakukan perkara seperti dilihat minum Teh Tarik di warung, hadir kenduri kahwin dan majlis pengebumian di kawasannya, berarak dengan beg beras di pusat bantuan ketika banjir, bercakap tentang bangsa dan agama, membantu penyokong mereka dengan memberi surat sokongan atau duit minyak, serta menyelitkan ayat ayat agama dalam ucapannya.

Jika seorang ahli politik melakukan semua ini, pengundi akan merasakan bahawa dia adalah sebahagian daripada mereka, dan mereka akan mengundinya kerana dengan anggapan bahawa sekiranya dia menang, itu bermakna mereka juga menang.

Tengku Zafrul lebih merupakan seorang ahli politik berasaskan prestasi daripada berasaskan identiti.

Kepakaran beliau adalah dalam mencari jalan untuk membentuk kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat atau negara lain, demi meningkatkan peluang negara untuk menang, berkembang, maju dan makmur.

Dalam Umno, seorang ahli politik yang tidak mahir bermain politik identiti, hampir pasti akan dipandang rendah, malah mungkin dihina dan dianggap tidak “layak” menjadi menteri, hanya kerana beliau tidak tahu bagaimana untuk bermain permainan identiti seperti yang dimainkan oleh lain-lain ahli politik Umno lain.

Dari segi kategori ahli politik, Tengku Zafrul mungkin lebih merupakan seorang “teknokrat”, seperti Rafizi atau Anthony Loke, berbanding dengan tokoh-tokoh politik seperti Hadi, Muhyiddin atau Anwar, yang merupakan ahli politik berasaskan identiti.

Malah berbanding Rafizi dan Anthony Loke sekalipun, Tengku Zafrul jauh lebih teknokrat, kerana Rafizi dan Anthony Loke juga sedikit sebanyak bermain politik identiti, tetapi Tengku Zafrul hampir sepenuhnya hanya bermain dalam persada prestasi.

Sebahagian besar sebab mengapa Tengku Zafrul mungkin satu-satunya ahli politik yang berjaya kekal sebagai menteri dari zaman Muhyiddin ke zaman Ismail Sabri ke zaman Anwar, adalah kerana setiap pemimpin tertinggi perlukan seorang teknokrat.

Seorang ahli politik boleh naik ke atas dengan bermain politik identiti – atau dengan meyakinkan semua orang bahawa dia adalah sebahagian daripada mereka dan menunjukkan kerelaannya untuk memperjuangkan hak dan kepentingan mereka – tetapi untuk kekal di atas, dia perlu meraih kemenangan, pertumbuhan, kemajuan dan kemakmuran.

Ahli-ahli politik seperti Ismail Sabri, Anwar dan Muhyiddin mungkin boleh naik ke puncak dengan membuat ahli parti mereka serta rakyat jelata percaya bahawa mereka adalah sebahagian daripada mereka, tetapi setelah sampai di puncak, rakyat dan pengundi hanya akan terus menyokong jika mereka mampu membawa kemenangan, kemajuan, pertumbuhan dan kemakmuran.

Di sinilah peranan orang seperti Tengku Zafrul adalah penting.

Politik identiti adalah satu permainan minda, tetapi kemenangan, kemajuan, pertumbuhan dan kemakmuran bukanlah sekadar permainan minda dan perspesi - ianya adalah hakikat realiti. Anda mungkin pandai bermain permainan minda, sehingga anda berjaya membuat berapa ramai orang percaya dan yakin dengan anda, tetapi jika anda tidak bijak membuat perkiraan realiti , anda tetap tidak akan menang, berkembang, maju dan makmur.

Untuk membolehkan anda menang, berkembang, maju dan makmur, anda perlu fokus kepada realiti, bukan hanya cuba mengubah hati dan minda orang ramai.

Dalam erti kata lain, anda perlu mengatur sumber, tenaga kerja, masa, ruang, peluang dan kelebihan yang anda miliki, dan merancang bagaimana untuk mengoptimumkan apa yang anda miliki, untuk menggerakkan sesuatu pelan yang berkebolehan untuk meraih kemenangan, pertumbuhan dan kemakmuran.

Selain daripada hakikat bahawa Tengku Zafrul ialah seseorang yang boleh diharapkan oleh pemimpin tertinggi seperti Anwar untuk fokus pada realiti dan mencipta peluang yang berkebolehan untuk membawa kemajuan dan kemakmuran yang bukan sahaja diperlukan oleh negara, tetapi juga oleh Anwar sendiri untuk terus berkuasa, Tengku Zafrul juga mempunyai kelebihan tambahan sebagai seseorang yang berkemungkinan besar tidak akan mencabar pemimpin tertinggi, kerana beliau berkemungkinan besar tidak berminat atau tidak pandai bermain permainan identiti dalam politik.

Masalah dengan Rafizi, ialah walaupun beliau dilihat sebagai teknokrat seperti Tengku Zafrul, beliau bukan sahaja gagal menyerlah sebagai teknokrat (misalnya dalam menggerakkan sistem PADU), tetapi beliau juga dilihat sebagai ancaman kepada Anwar, kerana beliau jelas mempunyai cita-cita untuk menjadi nombor 1, dan mempunyai keupayaan untuk bermain politik identiti yang mungkin membolehkan beliau mengatasi Anwar sebagai pemimpin nombor 1 PKR.

Dengan pengunduran Rafizi, Tengku Zafrul adalah pengganti sempurna yang diperlukan Anwar, kerana Tengku Zafrul bukan sahaja merupakan teknokrat yang lebih berwibawa daripada Rafizi, beliau juga hampir pasti tidak akan mencabar Anwar, atau Nurul Izzah, untuk jawatan tertinggi.

Saya sebenarnya melihat gandingan Tengku Zafrul dan Nurul Izzah dalam kacamata yang hampir sama seperti gandingan Sonia Gandhi dan Manmohan Singh di India.

Manmohan Singh juga seorang teknokrat, yang dianggap ramai sebagai tokoh utama yang telah mentransformasikan ekonomi India daripada sebuah ekonomi yang lesu dan dibebani birokrasi kepada sebuah kuasa ekonomi moden.

Walaupun beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri India di ketika itu, beliau tidak sekalipun cuba merampas kedudukan Sonia Gandhi sebagai pemimpin Parti Kongres India dan pemimpin de facto India pada masa itu.

Pada masa ini, dua TPM kita – Fadillah dan Zahid Hamidi – hanya memegang jawatan timbalan perdana menteri kerana kompromi politik.

Namun dalam pilihan raya umum akan datang, jika PH menang dengan kedudukan lebih kuat dan tidak lagi perlu memberikan jawatan TPM sebagai kompromi, kemungkinan besar jawatan itu akan diberikan kepada seseorang seperti Tengku Zafrul, yang boleh diharapkan untuk membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negara, tanpa menggunakan kedudukan beliau sebagai platform untuk menjatuhkan nombor 1.

Siapa tahu, jika atas apa jua sebabnya Nurul Izzah tidak dapat menggantikan Anwar sebagai nombor 1, seperti Manmohan Singh, Tengku Zafrul mungkin orang terbaik – untuk keluarga Anwar dan untuk negara – untuk mengambil alih peranan itu.

Sifat teknokratik mereka bukan sahaja akan membantu memajukan negara, malah ketidakupayaan mereka untuk bermain politik identiti akan memberikan keyakinan kepada keluarga Anwar bahawa kuasa masih kekal dalam tangan mereka, walaupun bukan mereka yang berada di kerusi nombor 1.


TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.