Pemuda Umno jangan ‘lebih sudu dari kuah’ patut tanya Tengku Zafrul, kenapa pilih PKR? : AMK

LocalPolitics
4 Jun 2025 • 7:53 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno sepatutnya bertanyakan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kenapa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) itu memilih menyertai PKR, bukan mempersoalkan isu prinsip dan adab kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Izuan Kasim turut meminta pergerakan perkenaan supaya tidak bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’ dalam isu tersebut dengan menyalahkan PKR sebagai punca pemimpin itu meninggalkan parti.

“Cakap-cakap Tengku Zafrul nak masuk PKR dah hampir setahun, kalau Pemuda Umno marah sangat sebab beliau nak sertai PKR, sepatutnya soalan kata PKR tak ada adab atau sebagainya itu sepatutnya mereka terus tanya Tengku Zafrul sendiri, kenapa pilih PKR? Apa kurangnya Umno?.

“Itu soalan yang sepatutnya tanya Tengku Zafrul, tanya kita, Setiausaha Agung pun dah beri kenyataan, akan semak permohonan melalui atas talian dan akan minta juga pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Itu pun dah tunjuk bahawa PKR pun berhati-hati. PKR ini parti yang menjadi pilihan pelbagai golongan, bukan sahaja ulama, reformis, profesional mahu pun aktivis sebagai wadah perjuangan.

“Jadi tak bolehlah nak salahkan kalau ada individu yang minat nak sertai parti kami. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pun belum buat mesyuarat, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno begitu juga, jadi jangan ‘lebih sudu daripada kuah’.

“Kita juga menghormati rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Scoop hari ini.

Baru-baru ini Tengku Zafrul telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno serta menyatakan hasrat menyertai PKR.

Susulan itu, pelbagai kenyataan dikeluarkan pemimpin parti termasuk Pemuda Umno Kedah yang mempersoalkan mengenai adab kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan selain mengecam PKR yang seolah meraikan hasrat Tengku Zafrul.

Namun Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan kerjasama parti itu dan PKR tidak terjejas susulan peletakan jawatan Tengku Zafrul.

Beliau berkata, kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu perlu terus bekerjasama demi kestabilan politik negara.

Ditanya sama ada keinginan Tengku Zafrul untuk menyertai PKR sebagai tindakan oportunis, Izuan yang juga Ketua AMK Selangor berkata, dalam soal itu ia bergantung kepada pandangan masing-masing.

“Ada yang kata beliau akan ikut sahaja mana parti yang jadi Perdana Menteri, tapi tidak ketika Bersatu menjadi kerajaan, tidak ada pula Tengku Zafrul kata masuk Bersatu.

“Beliau dinilai melalui prestasi kerjanya, beliau ‘perform’ dalam tugasnya, menjaga Miti dengan sangat bagus,” katanya. - 4 Jun, 2025