Nurulhidayah jadikan AWIM platform angkat martabat suri rumah

29 Oct 2026 • 10:24 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nurulhidayah jadikan AWIM platform angkat martabat suri rumah

HASRAT mengiktiraf suri rumah sebagai satu kerjaya menjadi antara mesej utama yang dibawa oleh Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid selepas merangkul Anugerah Wanita Ikon Malaysia (AWIM) 2026/27.

Nurulhidayah yang mewakili Selangor turut diiktiraf atas pengalaman dan sumbangannya dalam bidang kepimpinan korporat, komunikasi strategik serta pembangunan masyarakat.

Menurutnya, anugerah itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi platform untuk membawa suara wanita, khususnya golongan suri rumah yang memainkan peranan penting dalam membentuk institusi keluarga.

“Bagi saya, emak saya adalah seorang suri rumah yang berjaya. Dia berjaya mendidik dan menempatkan saya di pentas pada malam ini.

“Oleh itu, saya berhasrat memperjuangkan supaya suri rumah diiktiraf sebagai satu kerjaya, termasuk pemberian gaji oleh suami, selain nafkah mengikut kemampuan masing-masing.

“Saya sudah mempunyai proposal dan berharap kemenangan ini menjadi platform untuk membawanya kepada pihak-pihak yang berkenaan,” katanya kepada K-Remaja selepas Majlis Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/27 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut menerima pengiktirafan ialah Nurul Shahira Mazli yang mewakili Negeri Sembilan bagi Anugerah Wanita Ikon Muda Malaysia 2026/27.

Sementara itu, Dr. Reynu Rajan yang mewakili Selangor berjaya meraih Anugerah Wanita Ikon Waja Malaysia 2026/27, manakala Ceylyn Tay Wei Lung yang mewakili Perak mendapat Anugerah Wanita Ikon Inspirasi Malaysia 2026/27.

Selain kategori utama, AWIM 2026/27 turut memberi pengiktirafan khas kepada individu yang telah membina sejarah, menunjukkan sumbangan dan komitmen luar biasa dalam bidang masing-masing.

Kapten Emilia Kamarudin pula menerima Anugerah Khas Tokoh Wanita Ikon Malaysia 2026/27 atas legasi beliau sebagai juruterbang pesawat pejuang wanita pertama Malaysia dan jurulatih penerbangan wanita pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman pula menerima Anugerah Khas He For She AWIM 2026/27 sebagai penghargaan terhadap sokongan beliau terhadap aspirasi dan kejayaan wanita.

Ini termasuk melalui dorongan kepada isteri dan anak-anaknya serta usaha membuka peluang kepada wanita dalam dunia perniagaan.

Image from: Nurulhidayah jadikan AWIM platform angkat martabat suri rumah
ASMAH (tengah) bersama Noraini (empat dari kiri) bergambar bersama para pemenang pada AWIM 2026/27 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. – ISKANDAR ISHAK

Rosnahi Gosti Hassan pula menerima Anugerah Ibu Ikon Malaysia 2026/27 sebagai pengiktirafan terhadap ketabahan beliau membesarkan empat orang anak kurang upaya (OKU) serta usaha menubuhkan Program Bimbingan 360% Kehidupan OKU bagi membantu komuniti OKU membina keyakinan diri, kemahiran dan kehidupan lebih berdikari.

Secara keseluruhan, sebanyak 301 pencalonan telah diterima, dengan proses saringan dan penilaian dilaksanakan bagi mengenal pasti calon yang layak.

Seramai 25 pemenang peringkat negeri telah dipilih untuk diketengahkan dalam persaingan di peringkat Malaysia.

Menariknya, majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Ab. Rahman selaku Tetamu Kehormat Utama, serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut memberikan sokongan kepada agenda pemerkasaan wanita.

Sementara itu, pemenang Anugerah Wanita Ikon Muda Malaysia 2026/27, Nurul Shahira berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat di luar bandar.

“Saya melihat peluang untuk bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan agensi kerajaan lain bagi melaksanakan program yang dapat meningkatkan kemahiran serta pengetahuan, sekali gus membantu pembangunan masyarakat.

“Bagi saya, penambahbaikan dalam kehidupan tidak semestinya perlu dilakukan secara besar-besaran. Walaupun hanya satu peratus, namun yang penting, usaha itu dilakukan secara konsisten,” katanya.

The post Nurulhidayah jadikan AWIM platform angkat martabat suri rumah appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved