NutriSEL bantu calon SPM nikmati makanan berkualiti

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

NutriSEL bantu calon SPM nikmati makanan berkualiti

SHAH ALAM, 24 NOV: Pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) yang diperluas kepada 71,152 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 membantu memenuhi keperluan pemakanan pelajar selain meringankan beban ibu bapa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu turut mendidik generasi muda mengambil makanan berkualiti demi kepentingan kesihatan dan masa depan mereka.

“Untuk NutriSEL SPM, kita laksanakan sepanjang lima hari peperiksaan mata pelajaran teras dan ini memanfaatkan lebih 70,000 pelajar secara keseluruhannya.

“Pelancaran program ini juga dapat kurangkan kos ibu bapa menghantar makanan dan beri peluang kepada anak-anak dapatkan makanan gizi sempurna,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Semalam, NutriSEL memanfaatkan 71,152 calon SPM di 256 sekolah seluruh Selangor dengan semua calon menerima set makanan tengah hari bernutrisi bagi lima hari peperiksaan mata pelajaran teras.

Image from: NutriSEL bantu calon SPM nikmati makanan berkualiti
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2026. Foto REMY ARIFIN / MEDIA SELANGOR

Usaha itu mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak termasuk pengguna media sosial. Antaranya pemilik akaun di aplikasi Threads,@hayatiabdullah782 yang memuji tindakan pentadbiran dalam menyediakan makanan berkenaan.

Menurutnya, sebagai ibu bapa, beliau lega apabila pelajar yang menduduki peperiksaan terbabit masuk ke dewan dalam keadaan kenyang selepas menerima juadah nasi tomato secara percuma.

NutriSel yang diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dilaksanakan dari 3 Ogos hingga 3 Disember ini, membabitkan lebih 100,000 pelajar daripada 962 sekolah di seluruh Selangor.

Program itu menyediakan bantuan sarapan percuma kepada pelajar, khususnya daripada keluarga B40 berpendapatan di bawah RM2,000, dengan peruntukan keseluruhan RM14.4 juta.

Inisiatif berkenaan turut diperluas menerusi pelaksanaan Mega NutriSel pada pertengahan Oktober lalu bagi memperkukuh usaha Kerajaan Negeri menyediakan sokongan pemakanan kepada golongan pelajar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved