Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menawarkan dua inisiatif bagi meringankan beban kewangan golongan penghantar makanan dan penumpang (p-hailing) sekiranya berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu ini.
Tawaran itu melibatkan tambahan subsidi penyelenggaraan motosikal sebanyak 20 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan meningkat kepada 50 peratus, selain subsidi separuh daripada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut Dr Akmal, inisiatif berkenaan mengambil kira cabaran pekerja penghantaran yang perlu menanggung kos penyelenggaraan kenderaan serta perlindungan sosial meskipun berdepan pendapatan tidak menentu.
“Kamu ni adalah the unsung hero ataupun hero yang tidak didendangkan. Terima kasih banyak-banyaklah. Tanpa korang, percayalah banyak lagi orang yang tak dapat makan.
“Kadang-kadang apabila hendak membayar caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau PERKESO, jumlah lebih RM200 itu agak membebankan, lebih-lebih lagi apabila pendapatan sebagai rider tidak seberapa,” katanya.

Beliau menjelaskan, kedua-dua bantuan itu akan ditawarkan kepada penunggang yang berdaftar, menetap di Merlimau serta aktif menjalankan perkhidmatan penghantaran sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
Dr Akmal turut menyatakan komitmen untuk memastikan bantuan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
“Sebab kita nak buat, biar kita buat sungguh-sungguh. Kita tak nak buat separuh-separuh. Tapi bila rider dah daftar situ, kita nak bantu korang sehabis mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, Merlimau turut menyediakan pusat rehat khusus untuk kemudahan pekerja penghantaran, yang menurut Dr Akmal merupakan inisiatif pertama seumpamanya di peringkat DUN di Melaka.
Tawaran terbaharu itu menjadi sebahagian daripada komitmen yang dikemukakan Dr Akmal menjelang pengundian PRN Melaka pada 14 November ini.
Sumber: FB Akmal Saleh






