Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat

LocalHealth & Fitness
9 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat

GOMBAK, 9 SEPT: Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) yang dilaksanakan sejak Ogos lalu menerima reaksi positif warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia di sini.

Pengetuanya Siti Selma Ibrahim berkata inisiatif berkenaan bertepatan dalam membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan makanan seimbang dan berkhasiat sebelum meneruskan pembelajaran.

“Program ini sangat membantu pelajar, membantu menyediakan mereka cergas dan cerdas, dengan makanan berkhasiat untuk pembelajaran harian mereka.

Image from: Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Siti Selma Ibrahim ditemui selepas Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) di sekolah itu pada 9 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Maklum balas sangat baik. Kita ada 497 pelajar yang terima Nutrisel, biasanya 70 peratus ambil. Saya harap program ini dapat diteruskan dan bantu murid yang tidak sempat bersarapan di rumah,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Ashraf Syafiqi Abdul Rahman, 17, memuji hidangan makanan Nutrisel, dengan menu yang disediakan juga berbeza pada setiap minggu.

“Saya sudah terima makanan percuma daripada Nutrisel selama sebulan. Setakat ini semua makanan sedap dengan menu berbeza.

“Saya sangat bersyukur terpilih terima Nutrisel. Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana membantu kami,” katanya.

Image from: Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia Ashraf Syafiqi Abdul Rahman, 17, ditemui selepas Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) di sekolah itu pada 9 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Bagi Nor Safida Mat Nawi, 15, beliau merancang menyimpan duit belanja sekolah di dalam tabung untuk membeli komputer riba bagi keperluan ketika menyambung pelajaran di universiti nanti.

“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana terpilih terima Nutrisel. Saya sangat berterima kasih kerana bantu ringankan kewangan keluarga saya.

“Semua makanan sedap. Duit belanja sekolah saya masuk tabung dan saya rancang mahu beli komputer riba untuk belajar di universiti nanti,” katanya.

Terdahulu, warga SMK Gombak Setia menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang menyempurnakan simbolik penyerahan Nutrisel di sekolah berkenaan.

Image from: Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia Nor Safida Mat Nawi, 15, ditemui selepas Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) di sekolah itu pada 9 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin turut menyempurnakan program sama di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia selain meluangkan masa makan bersama pelajar di kantin sekolah SMK Gombak Setia.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin.

Program Nutrisel yang diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bermula secara serentak di 932 sekolah di Selangor 3 Ogos lalu.

Seramai 104,640 murid dan pelajar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 menerima manfaat program Nutrisel, dengan bantuan makanan percuma disediakan pada setiap Isnin dan Khamis.

Program yang bermula sehingga Oktober depan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM12.5juta.

Image from: Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama murid ketika Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia  pada 9 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentang pada Mesyuarat Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) Jun lalu, diperkenalkan sebagai tindak balas terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.

Image from: Nutrisel ringankan beban keluarga, pelajar puji manfaat nikmati sarapan berkhasiat
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia menikmati sarapan percuma dalam Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) di SMK Gombak Setia pada 9 September 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved