RM200,000 terus kepada warga Gombak

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 5:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM200,000 terus kepada warga Gombak

GOMBAK: Penduduk sekitar Gombak Setia menerima manfaat besar menerusi Program Mesra Rakyat Parlimen Gombak apabila sumbangan kemasyarakatan bernilai RM200,000 diagihkan bagi membantu keperluan komuniti setempat.

Program yang berlangsung di Dewan Mutiara Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu itu turut menghimpunkan lebih 30 reruai daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Besar Selangor merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu menjadi platform untuk membawa terus maklumat dan bantuan kerajaan kepada masyarakat tanpa perlu melalui saluran yang berlapis.

“Sumbangan dan penganjuran program ini khusus bertujuan memastikan maklumat serta inisiatif kerajaan Persekutuan dan Negeri yang belum sampai atau kurang difahami dapat disalurkan secara terus kepada masyarakat.

“Menerusi kaunter-kaunter yang dibuka, penduduk bukan sahaja menerima maklumat, malah berpeluang berinteraksi dan bertanyakan soalan secara terus bagi menyelesaikan pelbagai kemusykilan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Image from: RM200,000 terus kepada warga Gombak

Nilai RM200,000 itu disalurkan menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan, pendidikan, sokongan kepada NGO serta insentif kebajikan bagi memastikan manfaatnya dirasai secara terus oleh penduduk.

Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 3 petang itu turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti, antaranya saringan kesihatan percuma, khidmat Jobcare oleh PERKESO, Baucar Kita Selangor, bantuan baik pulih rumah, promosi TVET dan pendaftaran e-sukan.

Kemudahan mendapatkan barangan keperluan asas pada harga subsidi menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) turut menjadi antara tarikan kepada penduduk, selain jualan komuniti, aktiviti sukan, Zumba Mania, pertandingan mewarna, kuiz kemerdekaan dan cabutan bertuah.

Amirudin berkata, pendekatan berkenaan tidak akan terhenti di Gombak Setia apabila program itu akan diperluas ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak sebelum dibawa ke daerah lain di Selangor dalam tempoh setahun menerusi siri Jelajah Madani.

Dalam perkembangan sama, Amirudin turut meninjau projek pembangunan tempatan termasuk Kompleks Islam Wira Damai yang kini mencapai kemajuan fizikal 50 peratus, manakala beberapa komponen utama seperti ruang mihrab dan ruang solat sudah mencecah 70 peratus serta mendahului jadual asal.

“Kita meletakkan sasaran menjelang suku kedua tahun depan, bangunan kompleks ini akan siap sepenuhnya untuk dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.

Sebelum itu, Amirudin turut meluangkan masa meninjau Kejohanan Sukan Semarak Kemerdekaan di Padang Batu Caves yang menghimpunkan 30 pasukan tempatan sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan bulan kemerdekaan. – UTUSAN

The post RM200,000 terus kepada warga Gombak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved