Acara NVIDIA Graphics Technology Conference atau dikenali sebagai NVIDIA GTC ialah sebuah acara dimana syarikat pengeluar komponen teknologi grafik dan AI tersebut memperkenalkan teknologi baru yang secara lazimnya akan dimanfaatkan oleh pusat data dan banyak industri-industri lain seperti automotif, AI dan sebagainya.
Dalam satu sesi soal-jawab bersama The Korean Economic Daily baru-baru ini, Jensen Huang, CEO NVIDIA mengatakan bahawa NVIDIA akan memperkenalkan satu cip baru yang akan mengejutkan dunia. Tidak ada butiran mengenai cip apakah yang sedang diperkatakan, tetapi terdapat beberapa andaian yang telah dilakukan.

NVIDIA telah memperlihatkan prototaip kepada cip pemprosesan AI NVIDIA Vera Rubin di acara CES 2026, dan Jensen dijangka akan memperlihatkan kemampuan sebenar AI superchip tersebut di acara GTC 2026.
Satu lagi produk mungkin hasil kerjasama NVIDIA dan MediaTek, iaitu cip pemprosesan NVIDIA N1X yang menggunakan asas cip pemprosesan Arm untuk prestasi yang hebat dengan kadar penggunaan jauh lebih rendah apabila dibandingkan dengan penawaran AMD dan Intel.
Pengenalan cip NVIDIA N1X ini sepatutnya dilakukan pada pertengahan tahun lepas di acara COMPUTEX Taipei 2025, tetapi telah ditundah sehingga sekarang. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa laporan yang mengatakan bahawa NVIDIA sudahpun akhirnya sedia memperkenalkan cip pemprosesan tersebut, dimana ia kini sedang diuji oleh rakan pengeluar komputer seperti Lenovo.
Acara NVIDIA GTC 2026 akan diadakan di SAP Center San Jose, California bermula 15 Mac sehingga 19 Mac 2026 dengan pengumuman produk akan berlaku pada 16 Mac ini.



