
Saya sudah agak lama mahu kembali ke arena PC gaming selepas 12 tahun meninggalkannya selepas mendapat anak pertama. Anak sudah besar dan perasaan memiliki PC berkuasa tinggi kembali membuak-buak. Tetapi apabila menerima sebut harga sebuah PC kelas pertengahan dengan kad grafik NVIDIA saya kambus semula impian ini dan kembali ke PlayStation 5.

Harga kad grafik sekarang tidak masuk akal kerana krisis RAM. Maka jika anda masih mahu mengumpul kad grafik NVIDIA, anda boleh lakukannya menerusi kolek kad yang ditawarkan mereka. Semalam NVIDIA melancarkan siri kad GeForce Trading Cards Series 1 – Generations of GeForce.
Seperti kad permainan Pokemon dan Magic The Gathering, setiap kad dalam siri GeForce Trading Cards Series 1 – Generations of GeForce akan memaparkan kad-kad legenda (GeForce 256, GeForce 3, GeForce 10) serta pelbagai imej berkaitan seperti grafik promosi dan demo yang dibangunkan. Sebanyak 14 rekaan kad ditawarkan dalam siri pertama GeForce Trading Cards.
Pada waktu ini GeForce Trading Cards tidak boleh dibeli tetapi diberikan percuma kepada peminat paling tegar menerusi pertandingan media sosial serta diedarkan ketika acara fizikal seperti Bilibili World 2026, QuakeCon 2026 dan Gamescom 2026.




