
NVIDIA pada hari ini memegang takhta sebagai syarikat paling bernilai tinggi di dunia, mengatasi Apple, Google dan juga Microsoft. Tidak setakat itu, hari ini CEO Jensen Huang berkongsi sasaran baharu, menyasarkan mereka akan menerima tempahan cip bernilai melangkaui $1 trilion menjelang 2027.

Ini sekaligus memperlihatkan peranan utama yang dimainkan oleh NVIDIA dalam penawaran cip yang digunakan meluas untuk pembangunan kecerdasan buatan janaan, serta dalam pembangunan pelbagai pusat data di dunia.
CEO NVIDIA turut menyatakan permintaan untuk pemprosesan telah meningkat 1 juta kali ganda dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Dengan lebih banyak peranti dan integrasi yang dilakukan dari hari ke hari, penggunaan dan permintaan untuk tenaga perkomputeran dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun, sekaligus menguntungkan syarikat seperti NVIDIA.


