NVIDIA Sedang Membangunkan Cip AI B30A Khusus Untuk Pasaran China

WorldTechnology
20 Aug 2025 • 9:05 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

NVIDIA sedang membangunkan cip kecerdasan buatan (AI) baharu B30A khusus untuk pasaran China menurut laporan Reuters. B30A ialah cip dengan senibina Blackwell dan adalah lebih berkuasa berbanding H20 yang dibenarkan dijual di China pada waktu ini.

image is not available
NVIDIA B300

Adalah dipercayai B30A dibangunkan berasaskan cip B300 dengan prestasi dikurangkan separuh bagi memenuhi keperluan Amerika Syarikat yang menghalang cip AI terkini dijual kepada China. NVIDIA belum memuktamadkan spesifikasi akhir B30A tetapi mereka dalam persediaan menyerahkan sampel awal kepada bakal pelanggan di China bermula bulan depan.

Hanya beberapa bulan lalu NVIDIA tidak diberikan lesen untuk menjual H20 kepada pelanggan di China kerana ketegangan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Tetapi selepas NVIDIA dan AMD bersetuju menyerahkan 15% potongan jualan cip pasaran China kepada Amerika, Presiden Trump bersedia memberikan kelonggaran.