Nyala unggun api halau gajah dekati rumah

LocalEnvironment
20 Aug 2026 • 9:26 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nyala unggun api halau gajah dekati rumah

GUA MUSANG – Lebih 300 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Kuala Wok di sini hidup dalam kebimbangan apabila gajah liar kerap masuk ke kawasan perkampungan mereka sejak lima tahun lalu.

Seorang penduduk, Faridah Anjang, 43, berkata, gangguan berkenaan semakin kerap berlaku apabila gajah dikesan berada berhampiran rumah penduduk terutama pada waktu tengah malam.

Katanya, pada minggu lalu dia terdengar bunyi mencurigakan di sekitar rumah sebelum keluar memeriksa dan terkejut apabila mendapati seekor gajah berada tidak jauh dari kediaman.

“Saya terdengar bunyi di tepi rumah kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum keluar untuk melihat keadaan dan terkejut apabila mendapati terdapat kelibat gajah di situ.

“Gajah makin kerap masuk ke kawasan kampung sejak lima tahun lalu sehingga menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati terutama pada waktu malam,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Bah Hamil Bah Nawi, 67, berkata, keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini kerana sepanjang menetap di kawasan berkenaan sejak tahun 1970-an, dia tidak pernah berdepan gangguan gajah seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Katanya, penduduk kini perlu sentiasa berwaspada terutama pada waktu malam, sekiranya terdengar bunyi atau mengesan tanda-tanda kehadiran gajah berhampiran rumah.

“Penduduk kini sudah biasa melihat kesan tapak kaki dan najis gajah di sekitar kawasan rumah. Selain itu, pokok pisang dan buah-buahan juga sering dirosakkan gajah sehingga menjejaskan sumber makanan.

“Selain berjaga-jaga, penduduk turut mengambil inisiatif sendiri bagi memastikan ke­selamatan ahli keluarga dengan menyalakan unggun api untuk menghalau gajah daripada menghampiri rumah,” katanya.

The post Nyala unggun api halau gajah dekati rumah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved