
APLIKASI Threads kebelakangan ini kecoh dengan gelagat mencuit hati penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang nampak cukup aktif melayan warga maya.
Mana tidaknya, jika selama ini peminat hanya melihat sisi anggun dan serius beliau di pentas nyanyian, kemunculannya di platform baharu itu benar-benar mendedahkan satu personaliti yang cukup berbeza.
Rata-rata netizen terhibur melihat cara beliau yang suka mengusik dan berseloroh bersahaja, terutamanya apabila bercakap tentang topik makanan.
Sifat humor yang jarang-jarang ditonjolkan itu membuatkan ramai yang makin tidak kering gusi, malah menggelar beliau sebagai 'geng borak' kegemaran ramai di media sosial.

Bagi Siti sendiri, ruang masa itu dijadikan platform untuk dirinya berehat dan bersantai setelah seharian sibuk dengan tugasan seharian dan menguruskan anak-anak.
Menurutnya, rutin melayan aplikasi tersebut bermula apabila dia mempunyai waktu senggang pada waktu malam sebelum tidur.

"Saya memang ada waktu yang sangat membuatkan saya macam relaks adalah lepas anak saya tidur. Ada masa tertentu macam mana saya terbuka thread itu, saya tengok ada komen yang menarik, saya terus balas.
"Saya komen pun benda-benda yang berkaitan dengan makanan. Selepas itu, mereka semua pun macam terhibur pula tengok saya asyik tanya pasal makanan dan sebagainya kan.
"So dia berlarutan lah. Dan saya pun tak nak isu-isu serius sangat lah kan. Lebih kepada santai dan tak sangka pula orang-orang thread ini melayan saya macam gang whatsapp kan," katanya mesra.
Suasana interaksi yang tidak formal di platform berkenaan membuatkan beliau berasa sangat dekat dengan para pengikutnya seperti sebuah keluarga yang besar.
Keadaan itu secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang ceria dan sangat menyeronokkan buatnya.
"Kita rasa macam geng whatsapp yang besar. So lebih kepada benda yang selesa, lebih kepada macam menceriakan keadaan lah.
"Itulah, seronok juga keluarga thread ini sebenarnya," kongsi Siti lagi mengenai pengalamannya dalam menggunakan platform media sosial terbaharu itu.
Mengenai pandangan segelintir pihak yang menganggap aplikasi berkenaan sebagai sebuah platform yang agak toksik, Siti mempunyai sudut pandangannya yang tersendiri mengenai perkara tersebut.
Baginya, setiap apa yang berlaku di media sosial sebenarnya berbalik kepada cara pengendalian diri sendiri sama ada mahu melayan perkara negatif ataupun tidak.

"Itu depend kepada kita sebenarnya. Kalau kita rasa benda itu yang kita nak sentuh itu toksik, dia macam virus lah. Dia akan merebak. Kalau kita rasa benda itu tak boleh dilayan, tak payah jawab pun.
Jika kita layan benda-benda yang santai dia akan jadi menghiburkan lah. Semua platform kita online ini, platform media sosial ini membuatkan saya lebih dekat dengan peminat. Cuma cara kita nak bangkitkan di segi penjualan itu semua terpulang pada masing-masing.
"Di thread ini mungkin kan idea adalah antara yang baru. Dan saya more to benda-benda yang santai, makanan lah terutamanya," ujarnya lagi yang lebih selesa memilih pendekatan positif.
Memandangkan topik makanan adalah sesuatu yang sangat universal dan dekat dengan jiwa seluruh masyarakat di negara ini, Siti memilih untuk memfokuskan hantarannya kepada subjek berkenaan.
Niat bantu peniaga
Malah, perbualan santai mengenai makanan kegemaran juga secara tidak langsung dapat membantu menaikkan perniagaan kecil-kecilan orang lain yang memerlukan sokongan.

"Saya tahu sebab cakap makanan, bukan saya seorang yang suka. Semua rakyat Malaysia suka makan. Niat saya nak bantu mana-mana peniaga-peniaga makanan. Sebab sebenarnya ramai peniaga yang masak, makanan juga sedap.
"Dalam masa nak cari makanan itu, tak sangka pula ia jadi peluang rezeki untuk mereka kan. So alhamdulillah, kalau dia jadi satu yang positif, yang lain itu just usik-usik.
"Malah cara perbualan di thread juga pada saya macam kelakar sangat, kan. Jadi, saya rasa itu pun boleh buat kita release stres," jelasnya panjang lebar tentang niat murninya itu.
Kelancaran dan keaktifan Siti membalas setiap komen peminat dengan gaya bahasa yang sangat bersahaja ada kalanya menimbulkan tanda tanya sama ada akaun tersebut dikendalikan oleh pengurusnya atau diri sendiri.
Sambil tertawa kecil, Siti menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa segala interaksi jenaka di aplikasi itu adalah daripada dirinya sendiri tanpa penglibatan mana-mana pembantu atau admin.
"Kak Rozi selalu kena, kan. Tak adalah dalam bab ini memang saya sendiri yang membalas di Threads.

"Itu mungkin orang boleh ingat sisi hidup siti nurhaliza yang berbeza lah, yang santai. Yang suka mengusik. Saya nyaris tak jadi kumpulan sepahtu.
"Saya sendiri memang santai dan kelakar. Orang tak pernah melihat saya di kehidupan luar, waktu yang lain.
"Luar daripada genre saya sebagai penyanyi, mereka mungkin nampak saya lebih kepada serius menyanyi dan sebagainya," selorohnya lagi.






