Seorang wanita, Nur Afifah Abdul Rahim, berkongsi detik mencemaskan apabila kereta BYD Atto 3 milik keluarganya tiba-tiba brek mengejut secara automatik ketika sedang dipandu di lorong kanan Lebuhraya Cheras-Kajang pada 1 Mei lalu. Kejadian berlaku tanpa sebarang amaran atau petunjuk awal, sebelum skrin paparan menunjukkan mesej “Power System Failure” dan semua tayar dikatakan terkunci sepenuhnya.
Situasi itu hampir menyebabkan kemalangan apabila beberapa kenderaan lain terpaksa mengelak daripada merempuh kereta mereka yang berhenti mengejut. Afifah segera menghubungi pihak peronda lebuhraya yang tiba kurang 10 minit kemudian untuk mengawal lalu lintas. Bagaimanapun, kereta langsung tidak dapat dihidupkan dan tidak boleh ditolak walaupun gear sudah ditetapkan pada mod neutral.
Respons pusat servis mengecewakan
Kereta tersebut akhirnya ditunda ke pusat servis BYD Glenmarie, namun pengalaman yang lebih mengecewakan menanti di sana. Menurut Afifah, ketika menghubungi pusat servis keesokan pagi, mereka diberi pelbagai alasan termasuk ketiadaan staf dan permintaan agar membuat temujanji walaupun kejadian itu melibatkan isu keselamatan.
Setelah dipaksa untuk segera membuat pemeriksaan, pihak pusat servis akhirnya memaklumkan pada jam 4 petang bahawa kereta mengalami masalah bateri 12V ‘low voltage’, dan pemeriksaan lanjut akan mengambil beberapa hari. Permintaan Afifah untuk mendapatkan kereta gantian ditolak atas alasan “kereta pinjam sudah habis,” menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa pulang ke Melaka tanpa sempat meneruskan perjalanan ke kampung.
Isu waranti dan komunikasi pusat servis dipersoal
Afifah turut meluahkan rasa kesal kerana dimaklumkan bahawa kos penggantian bateri 12V adalah sebanyak RM418 dan tidak ditanggung waranti kerana jarak perjalanan sudah melebihi 20,000 kilometer.
“Kereta baru 10 bulan, tapi dah ada masalah bateri dan brek mengejut tanpa sebarang warning. Ini sangat membimbangkan,” katanya.
Lebih mengejutkan, menurut pihak BYD, tiada sebarang sistem amaran akan dipaparkan jika bateri 12V mengalami kerosakan atau voltan rendah, walaupun ia boleh menyebabkan kereta brek secara tiba-tiba — satu ciri keselamatan yang dipersoalkan oleh pengguna.
Aduan terdahulu juga belum diselesaikan
Dalam hantaran sama, Afifah turut berkongsi bahawa aduan terdahulu mengenai kerosakan Wallbox Charger yang dilaporkan sejak Februari masih belum diselesaikan. Setiap kali menghubungi pusat servis, jawapan yang diterima hanyalah, “masih tunggu pembekal.”
Situasi menjadi lebih rumit apabila kedua-dua pusat servis BYD — Glenmarie dan Melaka — saling merujuk semula tanggungjawab antara satu sama lain, menyebabkan pelanggan tidak tahu ke mana harus dituju untuk menyelesaikan isu-isu kritikal yang melibatkan keselamatan.
“Bukan nak jatuhkan, cuma nak beri peringatan”
Afifah menegaskan perkongsian ini bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi sebagai peringatan buat pengguna kereta elektrik supaya lebih berhati-hati. Suaminya, yang juga pemilik kenderaan tersebut, menulis:
“Disebabkan kejadian ini bermain dengan nyawa isteri dan anak-anak saya serta orang lain, maka terpaksa saya kongsikan kepada umum.”
Sistem EV canggih, tapi jika asas tak kukuh, nyawa jadi taruhan?
Insiden ini menimbulkan persoalan besar mengenai sistem amaran keselamatan dalam kereta elektrik, terutama apabila melibatkan komponen asas seperti bateri 12V. Ketiadaan amaran awal dan tindak balas perkhidmatan pelanggan yang perlahan boleh menghakis keyakinan pengguna terhadap jenama EV yang sedang berkembang pesat di Malaysia.
The post Nyawa anak & isteri hampir melayang, kereta BYD brek mengejut di lorong kanan appeared first on The Reporter.

