'Nyawa dibalas nyawa, saya bersyukur dia telah didakwa' - Nor Nadia menangis di mahkamah

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nor Nadia Abdul Majid (kanan), isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, semasa sidang media di pekarangan Mahkamah Klang hari ini.

KLANG – Isteri penunggang motosikal yang maut dirempuh seorang pemandu hingga melambung ke atas sebuah kereta, berpuas hati apabila lelaki yang disiasat berhubung kemalangan itu didakwa atas pertuduhan membunuh.

Nor Nadia Abdul Majid, 32, juga menangis ketika pegawai dari bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan, menyapanya selepas pertuduhan dibuat.

“Saya bersyukur dia telah didakwa, Alhamdulillah. Saya hanya ada satu perkara untuk dikatakan, nyawa dibalas nyawa.

“Saya lega, rasa beban dah kurang sikit, syukur,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Sementara itu, peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Nor Nadia berkata, ahli keluarga anak guamnya berpuas hati dengan pertuduhan berkenaan.

Katanya, sebelum ini tertuduh disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

“Kaedah untuk membuktikan kes diserahkan kepada pihak pendakwaan dan kita menghormati serta menghargai keputusan yang diambil,” katanya.

Semasa prosiding, R Saktygaanapathy, 28, mengangguk tanda faham selepas didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dalam pada itu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan dirinya dadah disyaki jenis Benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini pada jam 3.30 petang tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohd Faizi yang hadir selaku peguam pemerhati berkata, mahkamah memberikan kebenaran kepada mereka untuk turut serta dalam prosiding terbabit.

Katanya, kebenaran itu sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka untuk mendapatkan fakta yang sahih daripada mahkamah, sebelum saman dan tindakan susulan daripada pihak insurans dapat dibuat.

Beliau berkata, tertuduh dalam kes ini tidak diwakili peguam dan berkemungkinan ahli keluarga mahupun pihak mahkamah akan melantik wakil tersebut menjelang sebutan kes akan datang.