Budak cedera di AS diserang tiga ekor anjing

19 Oct 2019 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

WANETTE - Seorang budak perempuan berusia 9 tahun mengalami kecederaan teruk selepas diserang tiga ekor anjing yang terlepas dari tempat perlindungan haiwan.

Akibat serangan itu, mangsa yang berasal dari Amerika Syarikat itu dibawa ke hospital dan menerima puluhan jahitan.

Timbalan Pejabat Sheriff Pottawatomie County, Mike Booth berkata, pihaknya dihubungi petang Selasa lalu memaklumkan seorang kanak-kanak telah digigit anjing.

"Apabila sampai di tempat kejadian didapati kanak-kanak itu mengalami tanda gigitan dan luka di seluruh tubuhnya. Mangsa boleh mengalami kerosakan saraf yang berkekalan dan menjejaskan pergerakannya," katanya.

Booth berkata, ketika kejadian, kanak-kanak itu menunggang basikal berhampiran rumahnya di luar bandar Oklahoma dan berhenti untuk mengutip batu sebelum diserang tiga ekor anjing itu.

Katanya, pihaknya juga bercadang untuk memfailkan pertuduhan yang berkaitan serangan dengan peguam daerah bagi mengadili kes tersebut.

Sementara itu, tempat perlindungan haiwan, Forgotten Treasure Animal semalam mengeluarkan kenyataan di Facebooknya memaklumkan dua anjing yang terlibat dalam serangan itu adalah di bawah jagaan pusat tersebut manakala seekor lagi haiwan peliharaan sukarelawan di situ.

"Tiada tanda-tanda pencerobohan dan anjing-anjing itu keluar dari kurungan ketika tiada penjaga. Doa kami bersama anak (mangsa) dan keluarganya. Walaupun kami faham kemarahan yang anda rasa," kata kenyataan dalam kemas kini Facebook itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ia perkara yang tidak dijangkakan kerana haiwan itu melarikan diri dan ia merupakan tragedi yang mengerikan.- Agensi