Oasis Home dan GIMCare tubuhkan OG Alliance perkukuh segmen kesihatan di platform e-dagang

04/08/2025 - 16:21
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Ogos – Oasis Home Holding Berhad mengambil langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kesihatan digital tempatan menerusi penubuhan syarikat usaha sama dengan agensi pemasaran livestream terkenal, GIMCare (M) Sdn. Bhd
Oasis Home melalui anak syarikat milik penuhnya, Oasis Wellness International Sdn. Bhd telah menandatangani perjanjian dengan GIMCare bagi menubuhkan OG Alliance Sdn. Bhd. (OG Alliance), sebuah entiti usaha sama dengan modal permulaan sebanyak RM500,000.
Oasis Wellness akan memiliki 51% pegangan dalam OG Alliance, manakala 49% lagi dimiliki oleh GIMCare.
OG Alliance akan memberi tumpuan kepada pemasaran produk kesihatan secara digital yang menepati cita rasa pengguna tempatan melalui platform e-dagang seperti TikTok, Shopee dan Lazada.
Ketua Pegawai Eksekutif Oasis Home Holding, Datuk Jaden Teoh Yee Seang berkata, usaha sama ini adalah satu permulaan untuk memenuhi keperluan pasaran kesihatan tempatan yang semakin berkembang, dipacu oleh faktor kepercayaan, kredibiliti dan keterlibatan komuniti.
“Produk permulaan kami termasuk minuman serbuk kolagen marin, suplemen kesihatan kulit dan penggalak imuniti kanak-kanak.
“Semuanya dihasilkan dengan mengambil kira keperluan dan cita rasa pengguna tempatan, serta akan dipasarkan di beberapa platform e-dagang utama Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, aspek piawaian keselamatan dan pensijilan halal telah diberi fokus utama dalam pemasaran produk kesihatan yang beretika.
“Kami tidak sekadar menjual kesihatan, malah produk kami adalah rumusan Istimewa yang mementingkan keselamatan pengguna, ketelusan dan harga yang mampu milik,” katanya.
Kerjasama ini turut menyaksikan gabungan kepakaran Oasis Home dalam pembangunan produk dan pengurusan jenama, serta kekuatan GIMCare dalam strategi pasaran digital, pengiklanan, pengurusan pesanan dan logistik.
Sementara itu, Pengarah Inisiatif Strategik GIMCare, Mike Seah pula berkata, sinergi antara kedua-dua pihak dijangka mencetus impak pasaran yang kukuh dengan kepakaran GIMCare terhadap tingkah laku pengguna dalam ekosistem TikTok dan Shopee.
“Berdasarkan data pasaran, kategori kesihatan di TikTok sahaja menjana lebih RM80 juta dalam hasil bulanan pada Julai 2025.
“Laporan IMARC Group pula mengunjurkan saiz pasaran kesihatan dan kesejahteraan Malaysia meningkat daripada AS$11.4 bilion pada 2024 kepada AS$18.0 bilion menjelang 2033, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 4.6%,” katanya.
OG Alliance dijangka ditubuhkan secara rasmi menjelang September 2025, manakala pelancaran produk pertamanya disasarkan pada suku keempat tahun ini. - DagangNews.com
standard


